2 March 2015 – Sinar Harian
PADA 1993 di bawah kepimpinan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, kerajaan memperkenalkan industri francais.
Kini industri tersebut dilihat semakin berkembang baik dengan penambahan jumlah usahawan yang menyertai industri berkenaan bahkan ia memberi sumbangan positif kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK), sekali gus pertumbuhan ekonomi negara.
Kerajaan sangat komited menggalakkan usahawan tempatan khususnya Bumiputera dan bukan Bumiputera untuk menceburkan diri dalam bidang francais. Namun, adakah benar penyertaan dalam kalangan Bumiputera masih rendah?
Tidak dinafikan penglibatan usahawan Bumiputera sebagai francaisi induk sememangnya masih berada di tahap yang rendah.
Setakat ini, hanya terdapat lebih kurang 20 peratus francaisi induk melibatkan usahawan Bumiputera, yang mana 80 peratus lagi merupakan usahawan bukan Bumiputera.
Setiausaha Agung Persatuan Francais Malaysia (MFA), Mohamad Shukri Salleh berkata, walaupun jumlahnya adalah sedikit tetapi ia semakin bertambah setiap tahun.
“Walaupun begitu, usahawan Bumiputera banyak menjadi francaisi. Ini kerana masyarakat Melayu masih belajar untuk berniaga dan apabila perniagaan ini dipermudahkan sudah semakin ramai yang berani menceburi industri ini.
“Oleh itu, kami menjangkakan dalam tempoh lima tahun akan datang, usahawan francaisi sedia ada akan mengambil peluang dan beralih kepada francaisor,” katanya kepada Sinar Harian di pejabatnya baru-baru ini.
Berdasarkan kepada jumlah sumbangan industri francais kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK), industri ini dilihat mampu menjadi penyumbang positif negara.
Dengan pertumbuhan yang memberangsangkan itu, industri francais dijangka menyumbang RM26 bilion tahun ini berbanding RM25.6 bilion pada tahun lalu.
“Sasaran itu adalah relevan walaupun ramai yang menggambarkan bahawa tahun ini merupakan tahun yang sukar kepada perniagaan,” kata Mohamad Shukri.
Ia berbalik kepada peranan MFA sebagai salah satu badan badan bukan kerajaan (NGO) yang menjaga kepentingan francaisor dan francaisi.
Menurutnya, pihaknya memainkan peranan untuk mendidik masyarakat mengenai francais dan pada masa sama membantu mempromosikan serta membangunkan industri francais di negara ini.
Katanya, sejak 22 tahun ditubuhkan, pihaknya menyedari bahawa terdapat ramai lagi masyarakat tidak faham mengenai perniagaan francais.
“Oleh itu, kami bekerjasama rapat dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk membantu membangunkan industri bukan sahaja dalam tetapi serata dunia,” katanya.
Mohamad Shukri berkata, di MFA terdapat banyak program asas yang dianjurkan bagi membantu memberi kesedaran kepada masyarakat dengan bayaran penyertaan yang berpatutan.
Pada masa sama katanya, industri francais di negara ini sememangnya dilihat semakin berkembang dan mendapat sambutan setiap tahun.
“Namun hanya pada 2000, industri ini semakin rancak apabila negara sudah cukup matang dalam industri ini.
“Pada masa akan datang, kami berharap untuk membangunkan lebih banyak jenama tempatan.
“Setakat ini, terdapat 758 syarikat francais tempatan yang berdaftar dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK),” katanya.
Daripada jumlah itu, 80 peratus adalah jenama tempatan dan 20 peratus lagi jenama antarabangsa.
Menurutnya, negara tidak perlu bergantung kepada produk antarabangsa sebaliknya perlu melahirkan lebih banyak jenama tempatan untuk bersaing ke peringkat global.
“Ini terbukti apabila 54 jenama Malaysia sudah berada di 62 negara sejak 1994.
“Tahun ini, kami menjangkakan untuk membangunkan 10 jenama lagi ke luar negara,” katanya.