Kuala Lumpur, 22 Jan 2023,
Persatuan Francais Malaysia (MFA) menyasarkan nilai jualan sebanyak RM600 juta pada Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia (FIM2024) yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini.
Pengerusi MFA, Datuk Radzali Hassan, berkata lebih 30,000 pengunjung dijangka mengunjungi pameran itu yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 30 Mei 2024.
“Sehingga kini, lebih 70 peratus daripada 240 reruai yang disasarkan telah diisi oleh syarikat francais dan organisasi yang turut menyumbang kepada ekosistem francais.
“Selain jenama tempatan, FIM turut menarik minat pempamer dari Jepun, Singapura, Korea Selatan, Taiwan, China, India dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
“Saya percaya penyertaan program seumpama ini merupakan antara langkah terbaik untuk mengukuhkan dan meluaskan jaringan perniagaan di peringkat tempatan bahkan antarabangsa,” katanya semasa merasmikan Majlis Pra-pelancaran FIM2024, hari ini.
Radzali berkata, FIM2024 kali ini membawa kelainan dengan mengadakan Mesyuarat Tahunan Asia Pacific Franchise Confederation (APFC) dan World Franchise Council (WFC) yang akan mengumpulkan wakil persatuan francais dari lebih 40 negara.