Kuala Lumpur, 22 Jan 2024,
Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia (FIM) 2024 bakal menjadi hub pertemuan wakil francais dari seluruh negara.
Penganjuran edisi ke-31 itu melibatkan hampir 250 pempamer dari dalam dan luar negara akan membuka peluang perniagaan francais tempatan berkembang dengan lebih meluas.
Pengerusi Persatuan Francais Malaysia (MFA), Datuk Dr Radzali Hassan berkata, penganjuran tahunan yang disokong penuh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Perbadanan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) merupakan satu-satunya program yang mendapat pengiktarafan World Franchise Council (WFC) dan Asia Pacific Franchise Confederation (APFC).
Beliau berkata demikian pada Majlis Pra-Pelancaran dan Sidang Media FIM 2024 di ibu negara, hari ini.
Para penggiat industri digalakkan untuk memanfaatkan platform ini bagi mengukuhkan penjenamaan serta meluaskan jaringan perniagaan francais di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Menariknya lagi, bersempena FIM 2024, Malaysia sekali lagi menjadi hos untuk mesyuarat APFC dan WFC yang menghimpunkan wakil persatuan francais dari 40 buah negara yang bakal memberi manfaat kepada usahawan tempatan mendapatkan potensi pelaburan dan prospek francaisi selain padanan perniagaan.
FIM 2024 akan bermula 29 Mei hingga 1 Jun 2024 bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dijangka menarik 30,000 pengunjung dan menyasarkan RM600 juta nilai jualan.
Sumber: Berita RTM
Artikel Penuh: https://www.instagram.com/p/C2ZEfrtyQM7/
Video Liputan Berita: https://www.youtube.com/watch?v=kS3jBmyq72g