KUALA LUMPUR 15 Jun – Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa (FIM2015) yang berakhir semalam telah mencatatkan transaksi urus niaga sebanyak RM379 juta, peningkatan dua peratus berbanding RM370 juta yang dicapai tahun sebelumnya.
Pengerusi Persatuan Francais Malaysia (MFA), Datuk Mohd. Latip Sarrugi berkata, pencapaian tersebut adalah hasil daripada penyertaan dari dalam dan luar negara membabitkan 62 syarikat tempatan dan 23 syarikat luar negara.
Katanya, pameran itu juga telah mempamerkan 15 francaisor baharu yang pertama kali menyertai FIM dan berpotensi besar untuk mengembangkan perniagaan dalam industri ini.
“FIM2015 yang diadakan selama tiga hari di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu lalu.
“Turut diadakan pada majlis perasmian adalah pertukaran perjanjian antara syarikat Naza Tutti Frutti (Malaysia) Sdn. Bhd. dengan pihak Korea dan Afrika serta Marrybrown Sdn. Bhd. dengan Master Franchisee dari Singapura dan Thailand,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, pertukaran perjanjian turut diadakan antara Adan Laundry dengan 20 syarikat francaisi bumiputera dan Smart Reader Worldwide Sdn. Bhd. dengan Master Franchisee dari Abu Dhabi, Australia dan Indonesia.
FIM2015 anjuran bersama MFA dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) tersebut merupakan acara tahunan yang telah diadakan buat kali ke-22 dan FIM2016 akan diadakan pada bulan Mei 2016.
– See more at: http://www.utusan.com.my/bisnes/korporat/fim2015-catat-transaksi-rm379-juta-1.103503#sthash.nyGbnBgb.dpuf