17 Jun 2014 – Malaysia Gazette
Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia 2014 (FIM2014) yang berakhir Ahad lalu bakal menyaksikan 1,560 orang bakal francaisi baru, kenaikan kira-kira 16 peratus berbanding tahun lalu.
Pertambahan itu disokong oleh minat dan permintaan tinggi bakal usahawan yang tertumpu pada konsep francais berskala sederhana dan mikro.
Ini menyebabkan nilai pelaburan di bawah RM50,000 bagi pakej francais mikro pada FIM merosot kepada RM364 juta.
Pengerusi Persatuan Francais Malaysia, Datuk Mohd Latip Sarrugi berkata, peningkatan kepada jumlah bakal usahawan francaisi membuktikan peluang dan promosi perniagaan francais mikro sudah menampakkan kesannya.
“Penyertaan syarikat-syarikat francaisor yang menawarkan konsep dengan modal sederhana serta francais mikro menjadi pilihan dikalangan bakal-bakal usahawan. Dengan modal yang rendah, francaisi akan diberikan bimbingan bagi memajukan perniagaan yang berskala kecil itu.
“Malah, francais mikro adalah model perniagaan mampu milik khususnya bagi mereka yang pertama kali ingin menjadi usahawan,” katanya.
Penganjuran FIM 2014 itu turut mendapat sokongan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).
Menurut Mohd Latip, FIM 2014 berperanan sebagai platform pembangunan industri francais tempatan yang bakal menyokong usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab francais di Asia Tenggara pada tahun 2020.
Penganjuran FIM2014 kali ini juga memberi peluang kepada jenama francais tempatan untuk meluaskan jenama mereka di Arab Saudi, Iran, China, Nigeria, Singapura, Filipina dan Thailand.
Sebanyak 118 ruang pemeran dengan lebih 20 peratus penyertaan adalah dari jenama antarabangsa menyertai FIM2014 termasuk Tutti Frutti, Snogurt, Marrybrown, Ar-Rahnu Exchange, Smart Reader, Paddington House of Pancakes, Aqua Wash, Daily Fresh dan Gloria Jeans.
Selain itu, tujuh buah negara turut menyertai FIM2014 iaitu Amerika Syarikat, Korea, Filipina, Australia, Indonesia, Taiwan dan Singapura. – MalaysiaGazette