16 Jun 2014 – Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR 15 Jun – Penggiat industri francais menyifatkan Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia (FIM) 2014 selama tiga hari yang berakhir semalam, sebagai platform berkongsi pengalaman, idea dan pengetahuan tentang produk masing-masing.
Pengurus Operasi Perniagaan Cool Blog Dessert Sdn. Bhd., Muhammad Daniel Koh Abdullah berkata, FIM 2014 memberikan banyak faedah, kemudahan dan peluang untuk penggiat francais memperkenalkan syarikat serta produk-produk mereka kepada peserta dan pengunjung.
“Terdapat peluang untuk memperluaskan francais termasuk melibatkan pengusaha dari negara lain.
“Selain itu Perbadanan Nasional Berhad (PNB) turut terlibat dalam pameran kali dan ini memberi peluang kepada para pengusaha francais menjalinkan hubungan lebih baik dengan PNB sambil mendapatkan maklumat bentuk pinjaman yang disediakan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pameran itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
FIM 2014 merupakan pameran francais terbesar di Asia Tenggara anjuran Persatuan Francais Malaysia (MFA) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) .