13 Jun 2015 – Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR 12 Jun – Pameran Francais Antarabangsa Malaysia 2015 (FIM) yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bermula hari ini khas untuk peniaga dan pengusaha syarikat francais dari dalam dan luar negara mendapat sambutan memberangsangkan.
Pameran yang berlangsung selama tiga hari dengan tema Leap Beyond The Limits itu dijangka dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, esok.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati pengunjung dan pengusaha francais tidak melepaskan peluang membina jaringan perniagaan, berkongsi maklumat dan bertukar-tukar idea berkenaan produk dan perkhidmatan francais.
Salah seorang Ketua Pemasaran Zawara Sdn. Bhd., Nurul Ashekim Zakaria, 25, berkata, pameran itu memberi peluang kepada orang ramai untuk bertanya lebih lanjut serta mendapat penjelasan mengenai sesuatu produk dan perkhidmatan.
“Kami juga boleh bersemuka sendiri dengan pelanggan dan menerangkan dengan lebih terperinci supaya pelanggan dapat memahami bagaimana francais yang kami jalankan beroperasi.
“Melalui pameran ini juga kami boleh mendapatkan maklum balas daripada pelanggan dan pengusaha francais yang lain tentang bagaimana untuk meningkatkan mutu perkhidmatan dan produk kami,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu, seorang Pengurus Besar Ani Sup Utara, Andri Nasrun, 43, berkata, pameran itu merupakan platform terbaik bagi pengusaha francais tempatan untuk memperkenalkan produk mereka.
“Lebih menarik apabila pelbagai syarikat francais dapat berkumpul di bawah satu bumbung untuk sama-sama bersaing dengan cara yang sihat mempromosi dan memperluaskan empayar perniagaan yang ada,” katanya.
Dalam pada itu, seorang pengunjung, Amirul Abdul Halim, 42, berkata, pameran itu membolehkan peniaga kecil atau sesiapa sahaja yang berminat untuk menyertai bidang perniagaan francais mencari peluang perniagaan berdasarkan minat dan kemampuan mereka.
“Sebagaimana saya yang menyasarkan untuk menyertai perniagaan francais berbentuk makanan dan minuman, pameran ini adalah satu saluran terbaik bagi saya membuat kajian dan mengumpulkan maklumat perniagaan francais terbaik,” katanya.