KUALA LUMPUR 13 Mei – Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia (FIM) bakal berubah wajah dengan menampilkan ciri-ciri budaya Malaysia tahun depan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Korperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, perubahan perlu dilakukan terhadap FIM yang telah diadakan sejak tahun 1992.
“Untuk tahun hadapan kita akan buat lebih besar dan menjadikannya sebagai produk pelancongan. Kita mahu jadikan FIM sebagai karnival yang turut menampilkan elemen budaya Malaysia,” kata Hamzah.
Menurutnya, bagi merealisasikan hasrat tersebut KPDNKK akan melakukan perbincangan dengan Matrade dan Kementerian Pelancongan bulan depan.
“Kalau kita mahu menjadikan Malaysia sebagai hub produk francais, kita perlu membuktikan bahawa kita benar-benar mampu.
“Sebab itu saya mahu FIM pada tahun-tahun hadapan berubah rupa dengan pameran ini bukan sahaja untuk rakyat kita datang tetapi juga menarik rakyat asing untuk melihat budaya kita apabila mereka melawat reruai yang terdapat dalam pameran ini,” kata Hamzah.
Jelas Hamzah dengan konsep baharu itu jumlah reruai turut akan bertambah pada masa hadapan.
FIM 2017 edisi ke-24 yang akan berlangsung sehingga esok merupakan usahasama antara KPDNKK dan Persatuan Francais Malaysia (MFA)
Sejumlah 90 ruang pameran habis diisi oleh syarikat tempatan dan antarabangsa dari 10 buah negara.
FIM 2017 dijangka akan dihadiri kira-kira 10,000 pengunjung. – UTUSAN ONLINE
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/fim-bakal-menjadi-produk-pelancongan-tahun-depan-1.480804#ixzz4ofSnN7Rt
© Utusan Melayu (M) Bhd