Putrajaya, 14 March 2023,
PAMERAN dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia (FIM) 2023 yang bermula 18 Mei ini dijangka mampu menarik transaksi pelaburan berjumlah RM550 juta.
Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Mohd. Yusof berkata, kementeri itu turut menjangkakan lebih 15,000 pengunjung akan hadir sepanjang tiga hari program itu berlangsung.
“Setakat ini sejumlah 94 ruang pameran sudah ditempah dengan lebih 80 peratus adalah francaisor tempatan.
“Sementara lima negara lain turut mengesahkan penyertaan termasuk 10 francaisor terkenal dari Korea Selatan, selain empat lagi dari Singapura, dua dari Jepun serta masing-masing satu dari Amerika Syarikat dan Australia,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan FIM 2023 anjuran bersama KPDN dan Persatuan Francais Malaysia (MFA), hari ini.
Sehubungan dengan itu, Azman berkata, kerajaan amat berharap FIM 2023 akan menjadi platform terbaik kepada usahawan francais untuk mengembangkan potensi pelaburan pasca Covid-19 di samping berkongsi idea.
FIM edisi ke-30 itu akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dengan menawarkan sejumlah 150 ruang pameran dan tujuh sesi plenari termasuk panel asing.
Pada sesi lalu, penganjuran berjaya mencipta rekod apabila menarik lebih 14,000 pengunjung dan nilai pelaburan menerusi pelbagai memorandum persefahaman (MoU) berjumlah RM450 juta.
Acara tersebut turut mendapat sokongan serta diiktiraf daripada pihak Majlis Francais Sedunia dan Konfederasi Francais Asia Pasifik dengan penyertaan aktif banyak negara luar.
Dalam perkembangan berkaitan katanya, setakat hari ini pihak KPDN merekodkan sebanyak 1,183 francaisor yang berdaftar di seluruh negara dengan jumlah outlet francaisi mencecah hampir 10,000 buah. – Edisi 9
Sumber: Edisi 9
Artikel Penuh: https://www.edisi9.com.my/2023/03/fim-2023-dijangka-raih-potensi-pelaburan-rm550-juta/