5 February 2015 – Bernama
PUTRAJAYA, 4 Feb (Bernama) — Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia (FIM) 2015 yang dijadualkan bermula 12 Jun ini selama tiga hari diunjur mencatat transaksi bernilai RM370 juta, berbanding RM360 juta pada tahun lalu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek berkata edisi ke-22 itu dijangka menerima 300 penyertaan dengan 20 peratus peserta luar negara.
“Sebanyak 110 gerai pameran dijangka dibuka dalam FIM 2015 ini,” katanya kepada media selepas menghadiri program perbincangan bersama francaisor bersempena FIM 2015, di sini hari ini.
Menurut Hasan, FIM 2015 yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra di ibu negara dijangka menerima 12,000 pengunjung.
FIM merupakan program francais tahunan terbesar di Asia Tenggara dan berperanan sebagai pusat sehenti untuk francaisor dan francaisi mengembangkan perniagaan mereka.
Mengenai sektor francais di negara ini, Hasan berkata sektor itu dianggap mencatat pencapaian yang membanggakan apabila 54 jenama Malaysia kini berjaya menembusi pasaran 60 negara.
— BERNAMA