7 Jun 2015 – Bernama
KUALA PILAH, 7 Jun (Bernama) — Pameran dan Persidangan Antarabangsa ‘Franchise International Malaysia (FIM) 2015 anjuran Kementeri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dengan kerjasama Persatuan Francais Malaysia akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur mulai 12 hingga 14 Jun ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka merasmikan FIM 2015 dengan tema ‘Leap Beyond the Limits’ pada 13 Jun di Dewan Tun Hussein Onn.
“FIM 2015 adalah program francais tahunan terbesar di Malaysia dan merupakan antara yang terbesar di Asia Tenggara. Ia bertujuan mengumpul pengusaha industri francais dari dalam dan luar negara untuk mempamer dan mempromosikan produk dan perkhidmatan francais mereka di bawah satu pameran francais bersepadu.
“Selain itu, ia menjadi platform untuk membantu syarikat francais membina jaringan perniagaan, perkongsian pengetahuan dan bertukar-tukar idea berkenaan produk dan perkhidmatan francais serta mengenal pasti peluang francais yang bersesuaian,” katanya di sini hari ini.
Katanya, acara bertaraf antarabangsa ini turut mendapat pengiktirafan Majlis Francais Dunia dan Persekutan Francais Asia-Pasifik Franchise.
Katanya, sebanyak 110 gerai disediakan pada FIM 2015 manakala anggaran jualan ialah RM370 juta.
“Anggaran francaisi berpotensi pula ialah 1,600 orang manakala 12,000 orang dijangka melawat FIM 2015. Tujuh negara, iaitu Singapura, Indonesia, Filipina, Korea, Amerika Syarikat, Australia dan Taiwan akan menyertainya dengan 32 gerai.
“Beberapa memorandum persefahaman juga dijangka ditandatangani dan satu persidangan antarabangsa akan diadakan pada 13 Jun yang akan dihadiri 300 orang dari dalam dan luar negara,” katanya.
— BERNAMA