5 Mac 2014 – Utusan
PUTRAJAYA 4 Mac – Kerajaan menyasarkan nilai potensi pelaburan francais sebanyak RM370 juta sepanjang berlangsungnya program Francais Antarabangsa Malaysia 2014 (FIM 2014) pada 13 hingga 15 Jun depan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata, sasaran tersebut berdasarkan kejayaan FIM 2013 yang mencatatkan transaksi perniagaan sebanyak RM368 juta melalui penjualan sistem francais kepada 1,340 francaisi yang menyertai sesi pameran.
Beliau berkata, FIM 2014 yang dianjurkan oleh Persatuan Francais Malaysia (MFA) itu juga dijangka mampu untuk menarik 12,000 pengunjung dari dalam dan luar negara, termasuk 300 peserta persidangan antarabangsa dari Singapura, Korea Selatan dan Amerika Syarikat.
“Kementerian dan MFA menyasarkan nilai potensi pelaburan francais sebanyak RM370 juta iaitu hasil daripada penjualan sistem francais kepada 1,500 francaisi yang terdiri daripada 130 pempamer.
“Sejumlah 130 ruang pameran ditawarkan kepada syarikat-syarikat francais dari dalam dan luar negara, di mana 65 peratus daripada ruang pameran tersebut telah pun diisi oleh usahawan francais tempatan serta antarabangsa,” katanya dalam sidang akhbar semasa majlis pra pelancaran FIM 2014 di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Azmi Lateh dan Pengerusi MFA, Datuk Mohd. Latip Sarrugi.
Menurut Hasan, pameran francais secara khusus yang terbesar di Asia Tenggara itu bertujuan untuk memberi peluang kepada penggiat francais dari dalam dan luar negara mempromosi dan memperluaskan rangkaian perniagaan mereka.
Katanya, program tersebut juga bertindak sebagai platform untuk mempertemukan para penggiat francais dari seluruh dunia untuk berkongsi pengalaman, idea dan pengetahuan terkini bagi menyemarakkan lagi pembangunan industri francais Malaysia.
“Selain membantu membangunkan industri francais tempatan, kementerian dan MFA juga mengalu-alukan francais luar negara menawarkan konsep perniagaan mereka kepada rakyat Malaysia yang mencari konsep francais baharu, menarik dan inovatif.
“Taraf hidup yang lebih baik dan gaya hidup kosmopolitan menjadikan rakyat Malaysia ingin mencuba dan mengalami konsep francais serta produk baharu terutama dari luar negara. Ini membuka peluang kepada para francaisor asing untuk tampil dengan konsep inovatif dan segar supaya dapat menembusi pasaran Malaysia,” katanya.
Selain itu katanya, pengisian FIM 2014 akan dipenuhi dengan pelbagai aktiviti menarik seperti sesi suai padan produk antarabangsa, program khas bersama delegasi asing dan sesi perkongsian pengalaman bersama usahawan selebriti.
Sehubungan itu katanya, orang ramai yang berminat untuk menceburi perniagaan francais dijemput hadir ke FIM 2014 untuk menyaksikan sendiri peluang dalam sektor perniagaan yang ingin disertai.
“Rebutlah peluang ini untuk bertemu dengan lebih 100 jenama francais tempatan dan antarabangsa serta mengenal pasti kaedah untuk mentranformasikan perniagaan konvensional kepada sistem francais melalui khidmat nasihat dan bimbingan golongan pakar,” katanya.