5 Mac 2014 – Bernama
PUTRAJAYA, 4 Mac (Bernama) — Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia (FIM 2014) di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pada 13-15 Jun ini, dijangka menghasilkan jualan RM370 juta, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Hasan Malek.
Sebanyak 130 syarikat bakal menyertai FIM 2014 yang menawarkan lebih 1,500 potensi perniagaan, katanya pada sidang media selepas merasmikan prapelancaran FIM 2014 di sini Selasa.
“Sehingga kini, sebanyak 65 peratus ruang pameran di FIM 2014 telah diisi usahawan francais tempatan dan antarabangsa dari Singapura, Korea Selatan dan Amerika Syarikat,” katanya.
Mengenai catuan air dan dakwaan segelintir peniaga menaikkan harga baldi, besen dan tong air, Hasan berkata kementerian itu sedang memantau dan akan mengenakan kompaun kepada peniaga yang menjual melebihi harga standard di pasaran.
Pengguna harus melaporkan kepada kementerian bersama maklumat yang lengkap agar tindakan yang sewajarnya dapat diambil terhadap peniaga yang tidak bertanggungjawab itu, katanya.
Ketua Setiausaha KPDNKK Datuk Seri Alias Ahmad dalam laporan media semalam dipetik sebagai berkata kementerian itu menerima rungutan daripada orang ramai di seluruh negara mengenai tindakan peniaga mengambil kesempatan menjual tong menyimpan air pada harga yang mahal berikutan pelaksanaan catuan bekalan air.