31 Oktober 2014 – Bernama
KUALA LUMPUR, 31 Okt (Bernama) — Fasa kedua Pelan Strategik Francais Negara bagi tahun 2014-2016 akan memberi tumpuan kepada empat teras utama sebagai panduan untuk membangunkan industri francais negara.
Empat teras tersebut ialah meningkat daya saing francais Malaysia, transformasi perniagaan melalui francais, membangunkan kecekapan modal insan dan mengukuhkan ekosistem francais yang lebih dinamik.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hassan Malek berkata sejumlah 59 petunjuk prestasi utama (KPI) dan 31 strategi telah dirangka khusus untuk mencapai matlamat yang ditetapkan.
“Semua teras ini dirangka untuk mencapai visi menjadikan industri francais negara lebih dinamik di peringkat domestik dan seterusnya mencapai matlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai hab francais bagi rantau Asia Tenggara menjelang 2020,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptamanya pada Majlis Malam Anugerah Francais (MAF) 2014 hari ini.
Hassan berkata berpandukan strategi yang digariskan dalam pelan induk pembangunan francais, pelbagai program berjaya diwujudkan, yang menyumbang kepada agenda pembangunan ekonomi negara.
Di samping itu, katanya penggiat industri perlu lebih positif dan yakin dengan usaha dan strategi yang akan dilaksanakan oleh kerajaan berkaitan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan.
Katanya beliau percaya dengan usaha yang telah dilakukan melalui siri penerangan kepada semua penggiat industri, semua pihak akan lebih bersedia dan dapat merancang perniagaan mereka pada masa hadapan.
Sebanyak 58 jenama francais Malaysia telah bertapak di 53 buah negara dengan pembukaan outlet sehingga kini, berjumlah 2,380 di seluruh dunia.
— BERNAMA