Kota Belud, 18 Mac 2023,
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menyempurnakan perasmian kedai OldTown White Coffee cawangan Kota Belud, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, pembukaan cawangan Oldtown White Coffee bukan sahaja membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat tetapi juga memberikan perniagaan kepada para pembekal tempatan.
“Pembukaan lebih banyak kedai Oldtown White Coffee di Sabah akan mewujudkan banyak peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini,” katanya ketika berucap merasmikan cawangan Oldtown White Coffee, di sini.
Ewon turut mengalu-alukan supaya lebih banyak koperasi dan usahawan menceburi perniagaan francais F&B di seluruh Malaysia dan khususnya di Sabah.
Beliau berkata, kementeriannya melalui Perbadanan Nasional Bhd (Pernas) memperuntukkan sebanyak RM50 juta pada tahun ini untuk menyediakan skim pembiayaan bagi membantu usahawan francais.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif OldTown White Coffee Malaysia Timur Nelson Yen berkata, OTK Eatery Sdn. Bhd. merupakan lesen induk kepada OldTown White Coffee seluruh kawasan Malaysia Timur (Sabah/Sarawak/WP Labuan) yang beroperasi sejak 2007.
“Sehingga hari ini, syarikat kami telah membuka sembilan cawangan OldTown White Coffee di Sabah iaitu empat di Kota Kinabalu dan masing-masing satu outlet di Sandakan, Tawau, Kota Marudu dan Tambunan serta Kota Belud.
“Sasaran OTK Eatery Sdn. Bhd. untuk membuka 20 outlet cawangan OldTown White Coffee bagi seluruh kawasan Malaysia Timur,” katanya.
OldTown White Coffee Kota Belud menyediakan kemudahan-kemudahan seperti satu bilik mesyuarat yang boleh menampung seramai 30 orang dan mempunyai dua bilik VIP yang boleh memuatkan sehingga 24 orang dalam satu masa.
Kemudahan yang disediakan ini memberi manfaat khususnya kepada penduduk tempatan kerana ia percuma tanpa sebarang caj sewa (hanya perlu buat pesanan makanan).