Bangkok, 13 Julai 2024,
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), PERNAS dan Persatuan Francais Malaysia (MFA) perlu membina sinergi padu bagi memperkasakan usahawan francais Malaysia.
Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, ini penting bagi membantu syarikat-syarikat francais Malaysia meneroka peluang keusahawanan francais di dalam dan luar negara.
“Saya meminta agar MFA dan PERNAS bekerjasama padu dan saling melengkapi usaha membangunkan usahawan-usahawan dan syarikat-syarikat francais negara termasuk penglibatan bersama dalam Pavilion Malaysia pada ekspo yang seterusnya.
“KUSKOP akan menyediakan Dasar Keusahawanan Francais Negara selain menjadi pendaftar francais.
“Saya yakin dengan sinergi yang lebih baik ini, kita dapat memperkasakan lagi pembangunan sektor francais negara dan mengembangkan produk serta perkhidmatan jenama francais negara ke pasaran antarabangsa,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Bersama Diaspora Malaysia di Bangkok, Thailand, di sini, semalam.
Ewon berkata, ekosistem pembangunan francais negara yang sebelum ini di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kini dipusatkan di KUSKOP.
“Sehubungan itu, ekosistem berkaitan francais di Malaysia iaitu pendaftaran, pembangunan, pembiayaan, promosi dalam negara dan di luar negara diselaraskan oleh KUSKOP,” katanya.
Ewon bersama delegasi Malaysia mengadakan lawatan kerja tiga hari ke Bangkok Thailand yang berakhir hari ini (13 Julai) dalam Misi Perdagangan Francais Antarabangsa sempena Expo Thailand Franchise Business Opportunities 2024.
Ia bertujuan mempromosikan syarikat-syarikat francais jenama tempatan ke peringkat antarabangsa khususnya di Thailand yang mempunyai potensi pasaran besar dengan jumlah penduduk seramai 71.6 juta orang.
Sebanyak tujuh syarikat francais Malaysia di bawah Persatuan Francais Malaysia (MFA) iaitu D’ Tandoor, FatNinjas, Global Art, IrisPro, MuzArt, Myeongdong Topokki dan Cleanpro serta empat usahawan PERNAS iaitu Bubbles O2, Beard Brothers, Richiamo Coffee dan Tanamera menyertai misi perdagangan itu.
Mengenai lawatan kerja itu, Ewon berkata, beliau telah mengadakan perbincangan meja bulat bersama pihak industri francais di Thailand dan Timbalan Perdana Menteri Thailand merangkap Menteri Perdagangan Thailand Phumtan Wechayachi.
“Saya mengalu-alukan kerjasama antara Franchise & Licensing Association (FLA) Thailand dengan MFA untuk memperkasakan pembangunan ‘business-to-business’ komuniti niaga kedua-dua persatuan itu.
“Perbincangan ini juga berkenaan dengan perkembangan pembangunan sektor francais di Thailand serta bertukar-tukar maklumat dan pandangan bagi mempertingkatkan lagi kerjasama pada masa hadapan,” katanya.
Ewon berkata, dalam pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri Thailand, mereka membincangkan mengenai pemerkasaan kerjasama dalam bidang francais dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Kedua-dua kami juga saling menghargai keinginan dan komitmen untuk pertukaran maklumat dan kepakaran melalui kementerian dan agensi,” katanya.
Turut bersama dalam pertemuan itu ialah Duta Malaysia ke Thailand Datuk Jojie Samuel, Pengerusi PERNAS Datuk Hazimah Zainuddin, Pengerusi MFA Datuk Dr. Radzali Hassan serta pegawai-pegawai KUSKOP dan Kedutaan Malaysia di Bangkok.
Pada lawatan ini, Ewon mengadakan pertemuan bersama pihak industri, diaspora Malaysia dan Malawakil Malaysia di Bangkok, selain lawatan kerja ke syarikat francais Cafe Amazon milik syarikat Thailand dan juga ke Laundrybar, syarikat francais Malaysia yang beroperasi di Thailand.
Sumber: Utusan Borneo
Artikel Penuh: https://www.utusanborneo.com.my/2024/07/13/ewon-mahu-kuskop-pernas-dan-mfa-bina-sinergi-padu