Berita Harian – 15 Disember 2015
KUALA LUMPUR: Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas), syarikat pengurusan dana ekuiti persendirian berkaitan kerajaan, meneruskan penstrukturan semula portfolio makanan dan minuman (F&B) dengan pelupusan 90 peratus kepentingan ekuitinya dalam San Francisco Coffee (SF Coffee). Ekuinas, bersama rakan pelaburnya, Datuk Abdul Rahim Mohd Zin, memeterai perjanjian bersyarat bersama konsortium terdiri daripada Platinum Appreciation Sdn Bhd dan Brothers Coffee Ventures Sdn Bhd (BCV) untuk menjual 100 peratus kepentingan dalam Lyndarahim Ventures Sdn Bhd, syarikat induk bagi SF Coffee dan menjana perolehan kasar RM24 juta. BCV, dahulunya dikenali sebagai Brothers Burger Ventures Sdn Bhd, manakala Platinum Appreciation adalah anak syarikat milik penuh Envictus International Holdings Limited (Envictus), sebuah syarikat disenaraikan di Bursa Saham Singapura. Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Platinum Appreciation adalah Datuk Jaya J B Tan dan Datuk Kamal Y P Tan, manakala BCV diterajui oleh Datuk Ahmad Zaki Zahid dan Ahmad Zubir Zahid. Perjanjian yang ditandatangani adalah tertakluk kepada syarat tertentu, termasuk persetujuan pemegang saham Envictus yang dijangka dimuktamadkan menjelang akhir suku pertama 2016. Konsortium berkenaan dipilih selepas ia memberikan tawaran terbaik dalam proses penjualan yang menarik minat beberapa pihak tempatan dan antarabangsa. Pengerusi Ekuinas, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda, berkata selepas berjaya mengembangkan rangkaian kopi tempatan yang popular itu daripada 15 cawangan pada peringkat awal kepada 28 cawangan, syarikat berbesar hati untuk menyerahkan SF Coffee kepada Envictus dan BCV. “Kedua-dua syarikat terbabit mempunyai sumber serta kepakaran operasi yang diperlukan untuk membawa jenama berkenaan ke peringkat perkembangan yang seterusnya,” katanya menerusi kenyataan, semalam. Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas, Datuk Abdul Rahman Ahmad, berkata pelupusan itu juga membolehkan pihaknya memberi sepenuh tumpuan kepada segmen syarikat iaitu perniagaan restoran kasual dan francais pencuci mulut yang merangkumi jenama seperti Tony Roma’s, Manhattan Fish Market, New York Steak Shack dan Coolblog. “Semua jenama terbabit menjana pendapatan gabungan kira-kira RM300 juta yang beroperasi menerusi lebih 400 cawangan di beberapa rantau,” katanya. Pelupusan itu adalah sebahagian strategi pelupusan aset Ekuinas sebagai firma ekuiti persendirian selepas lebih enam tahun beroperasi. Hingga kini, Ekuinas melaksanakan pelupusan separa dan pelupusan penuh dengan jumlah hasil direalisasi melebihi RM1 bilion.