PETALING JAYA: Jika disebut mengenai budaya makan rakyat Malaysia, makanan segera mempunyai tempat istimewa di hati setiap orang.
Beberapa jenama terkenal sudah pun sebati dengan masyarakat di negara ini walaupun kebanyakannya berasal dari luar negara.
Salah satu rangkaian makanan segera terkenal yang sering menjadi sebutan di bibir peminatnya ini, mempunyai kisah sejarah kejayaannya tersendiri.
Bermula daripada sebuah cawangan kecil di Johor Bharu, Marrybrown kini mencipta nama di peringkat antarabangsa apabila mempunyai lebih 500 cawangan di 16 negara seluruh dunia.
Melihat kepada persaingan hebat dalam industri makanan segera, bagaimana jenama Malaysia yang tidak dikenali sebelum ini, boleh mencipta kejayaan sebegitu besar?
Diasaskan oleh pasangan usahawan, Lawrence dan Nancy Liew, francais Marrybrown kini diterajui oleh anak lelaki mereka yang juga Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Joshua Liew.
Baru-baru ini, FMT berpeluang untuk menemubualnya mengenai kisah kejayaan Marrybrown.
Ketika Marrybrown mula dibuka pada 1981, Liew berkata, rangkaian makanan segera Amerika Syarikat (AS) sudah lama bertapak di Malaysia.
Bagaimanapun katanya, masih terdapat peluang yang boleh diterokai memandangkan ramai rakyat Malaysia mencari makanan barat berstatus halal.
Mengambil kira faktor demografi itu, Lawrence dan Nancy nekad untuk menyediakan makanan menerusi jenama yang menyediakan hidangan berkonsep tempatan.
Apa yang mendorong pasangan ini meneruskan impian mereka untuk menceburi peniagaan itu adalah sikap rakyat Malaysia yang begitu gemarkan makanan.
“Salah satu cara kita berhubung ialah menerusi makanan dan kita mahu menghubungkan seluruh rakyat Malaysia melalui makanan enak disediakan oleh rakyat tempatan.
“Sebagai jenama tempatan, kita lebih memahami kehendak dan citarasa rakyat Malaysia,” kata Liew.
Nilai teras yang terletak pada jenama Marrybrown adalah untuk menyediakan kelainan dan keenakan rasa kepada pelanggannya dan ini mendorong mereka terus melakukan inovasi sejak 40 tahun lalu.
Idea yang bagus dianggap masih tidak memadai untuk menjamin kejayaan sesuatu perniagaan dan bagaimana pula dengan Marrybrown?
Bagi Liew, jawapannya mudah iaitu sentiasa mencuba selain jangan pernah berhenti mengalah.
Setiap hidangan yang pernah diperkenalkan dalam menu Marrybrown sudah melalui proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) selain melaksanakan pemeriksaan kualiti.
Marrybrown tidak pernah gagal untuk menawarkan sesuatu yang berbeza, dengan rasa enak dan harga yang berpatutan kepada pelanggan mereka.
Dengan mengambil kira maklum balas pelanggan, menu yang dibangunkan adalah khusus bagi menepati kehendak rakyat Malaysia apabila kebanyakannya mempunyai gabungan rasa manis serta savuri.
“Setiap kali memperkenalkan menu baru, pasukan R&D pasti teruja untuk mencuba rasa yang baru,” katanya.
Apa sebenarnya yang dikatakan sebagai makanan enak?
“Makanan enak adalah makanan yang membuatkan anda rasa teruja bermula daripada gigitan pertama hingga terakhir.
“Ia juga membuatkan anda tidak sabar untuk menceritakan keenakan ini kepada rakan dan keluarga. Pada masa sama, makanan ini sentiasa menjadi menu pilihan ketika meraikan acara tertentu,” kata Liew.
Paling penting, makanan terbaik adalah makanan yang mampu memberi satu pengalaman tidak dapat dilupakan oleh pelanggan tidak kira di mana mereka berada.
Liew menyifatkan kejayaan mereka disumbangkan oleh kesetiaan pelanggan yang terus memberikan sokongan sejak bertapak pada 1981.
“Maklum balas serta sokongan mereka yang sebenarnya memberi semangat kepada kami,” katanya.
“Menerusi pelbagai perubahan yang dilihat sejak beberapa dekad lalu, kami bersyukur dengan sokongan tidak terhingga yang tidak pernah berubah,” katanya.
Selain itu, Liew turut ditanya bagaimana dia memisahkan urusan perniagaan dengan kehidupan peribadi bersama keluarganya.
Liew berkata, ia sememangnya dianggap sebagai perkara penting dalam keluarga itu namun agak sukar untuk diamalkan.
“Dalam perniagaan, kami bersikap profesional tetapi apabila masa bersama keluarga, kami memberi sepenuh perhatian sebagai ahli keluarga dan meluangkan masa bersama-sama dengan penuh kasih sayang,” katanya.
Katanya, setiap detik adalah waktu yang berharga buat dirinya dan ia sepatutnya diluangkan bersama keluarga tersayang.
Pada masa sama, sikap kebersamaan antara rakan sekerja yang mempunyai hubungan rapat umpama ahli keluarga membantu Marrybrown untuk bergerak lebih maju ke hadapan.
“Kita mahu semua ahli pasukan, sama ada di ibu pejabat atau restoran, memberi layanan seperti ahli keluarga dan meletakkan kepercayaan pada setiap orang kerana tiada siapa yang suka bekerja dalam suasana negatif,” kata Liew.
Menerusi corak pemikiran seperti itu di tempat kerja, ia boleh membentuk satu budaya kerja positif yang memberi manfaat kepada setiap pekerja di Marrybrown.
Seperti juga perniagaan makanan lain, Marrybrown turut berdepan cabaran getir dalam suasana pandemik Covid-19 namun syarikat itu bijak mengubah rentak dengan memfokuskan khidmat penghantaran ke rumah.
Liew berkata, Marrybrown akan terus beroperasi menerusi perancangan tersusun selain memahami keseluruhan situasi yang sedang berlaku.
Katanya, mereka juga selama ini sentiasa mendengar pandangan ramai dan tidak pernah berpaling ke belakang.
“Kami bermula dari bawah, membangunkan segalanya dan mengembangkan perniagaan menerusi setiap langkah sehinggalah menjadi apa yang boleh dilihat hari ini,”katanya.
Biarpun terdapat pandangan negatif, dia dan ibu bapanya enggan membiarkannya menjejaskan semangat mereka dan terus kekal komited membangunkan perniagaan.
“Kadangkala, kami memberitahu diri sendiri bahawa tidak ada salahnya jika sesekali merasai kegagalan kerana daripada kegagalan, kita belajar untuk menjadi lebih baik.
“Sentiasa belajar daripada kesilapan, bangkit dan terus berusaha hingga ke destinasi yang ingin ditujui,” katanya.
Sumber:Free Malaysia Today
Artikel Penuh: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/fmt-ohsem/inspirasi/2021/06/22/dulu-tidak-dikenali-kini-marrybrown-setanding-restoran-makanan-segera-terkemuka/