Putrajaya, 11 Disember 2023,
Draf Dasar Francais Negara (DFN 2030) kini berada di peringkat akhir untuk dimuktamadkan sebelum dibentangkan kepada mesyuarat Jemaah Menteri, Januari depan.
Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sesi libat urus yang dijalankan pada hari ini bertujuan untuk mendapatkan maklum balas semua pihak berkepentingan terhadap draf DFN 2030.
“Sesi libat urus pada hari ini merupakan ‘touch point’ atau pun sesi libat urus yang terakhir sebelum kita membentangkan draf DFN 2030 ini dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dijadualkan pada Januari tahun hadapan.
“Sasaran kita agar DFN 2030 ini akan dapat dilancarkan dalam suku pertama tahun 2024 kelak,” katanya kepada pemberita pada sesi Town Hall DFN 2030 di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Armizan berkata, antara objektif utama DFN 2030 adalah menstruktur semula ekosistem perniagaan francais melalui penambahbaikan dan pemerkasaan dasar, strategi dan program pembangunan di samping usaha untuk memperluaskan pendigitalan dan teknologi dalam industri.
Selain itu, katanya, ia bertujuan menjadikan francais sebagai sektor perniagaan bernilai tinggi melalui peluang peningkatan taraf sosio ekonomi rakyat yang akan menyumbang kepada pertumbuhan industri seterusnya kepada kemakmuran negara.
“Objektif utama dasar ini juga untuk memacu pembangunan industri francais melalui hala tuju yang lebih strategik ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara peneraju industri francais di peringkat serantau,” katanya.
Dalam pada itu, Armizan memaklumkan, ruang untuk menerima maklum balas daripada semua pihak di dalam industri masih dibuka sehingga 31 Disember ini.
“Bukan setakat ahli jawatankuasa MFA (Persatuan Francais Malaysia) atau ahli berdaftar, kita juga buka ruang kepada francaisor dan francaisi yang ada di Malaysia untuk mengemukakan pandangan mereka terhadap draf DFN ini.
“Sebenarnya draf ini telah melalui proses yang panjang dan yang terakhir telah dimurnikan dalam satu bengkel di Pulau Pinang pada September lepas. Kemudian, kita bawa pada bulan Disember ini untuk satu lagi sesi libat urus sebelum kita dapat pastikan semua pihak mempunyai pandangan (mereka),” ujarnya.
Sumber: Utusan Malaysia
Artikel Penuh: https://www.utusan.com.my/nasional/2023/12/dfn-2030-struktur-semula-perniagaan-francais/