Putrajaya, 11 Disember 2023,
Dasar Francais Negara (DFN) 2030 dijangka akan dibentangkan ke Kabinet pada Januari ini sebelum dilancarkan pada suku pertama tahun depan.
Sehubungan itu, peserta industri francais masih diberikan peluang untuk mengemukakan cadangan dalam draf DFN 2030 sehingga akhir bulan ini.
Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata cadangan itu boleh disampaikan kepada Persatuan Francais Malaysia (MFA).
“Sebagaimana saya sebut, bukan hanya sesi libat urus ini yang akan diteruskan selepas ini, namun kita juga membuka ruang sehingga 31 Disember ini melalui MFA yang mana bukan setakat (terhad) ahli jawatankuasa MFA atau ahli yang berdaftar dengan MFA.
“Namun, kita juga membuka ruang kepada semua francaisor dan francaisi di Malaysia untuk mengemukakan pandangan mereka terhadap draf DFN yang telah disediakan walaupun draf ini sebenarnya telah melalui proses yang panjang untuk disediakan.
“Draf terakhir ini telah dimurnikan dalam satu bengkel di Pulau Pinang pada September lalu sebelum kita bawa ke sesi libat urus terakhir pada bulan ini untuk memastikan semua pihak mempunyai ruang dan selepas ini dapat bergerak bersama-sama dengan kerajaan dan KPDN untuk melaksanakan dasar dan program dengan strategik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri sesi Dialog Awam DFN 2030 di sini, hari ini.
Armizan berkata, kerajaan meletakkan sasaran untuk industri francais tempatan merekodkan jualan kepada RM100 bilion menjelang tahun 2030.
“Antara objektif utama DFN 2030 adalah untuk menstruktur semula ekosistem perniagaan francais melalui penambahbaikan dan pemerkasaan dasar, strategi dan program pembangunan di samping usaha untuk memperluaskan pendigitalan dan teknologi dalam industri.
“Menjadikan francais sebagai sektor perniagaan bernilai tinggi melalui peluang peningkatan taraf sosio ekonomi rakyat yang akan menyumbang kepada pertumbuhan industri seterusnya kepada kemakmuran negara.
“Memacu pembangunan industri francais melalui hala tuju yang lebih strategik ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara peneraju industri francais di peringkat serantau,” katanya.
Untuk rekod, nilai jualan industri francais tempatan meningkat daripada RM14.6 bilion pada 2020 kepada RM30 bilion pada 2021.
Setakat September tahun ini, sebanyak 1,237 francais tempatan telah berdaftar.
Daripada jumlah itu, 70 jenama francais tempatan telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa di 80 buah negara.
Sumber: Berita Harian
Artikel Penuh: https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2023/12/1187844/dfn-2030-bakal-dibentang-ke-kabinet-bulan-depan#google_vignette