Kuala Lumpur, 30 Mei 2024,
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam proses merangka Dasar Pembangunan Keusahawanan Francais bagi membentuk hala tuju industri francais negara yang mampan dan boleh dicapai.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, berkata proses membabitkan sesi libat urus bersama pemegang taruhnya termasuk Persatuan Francais Malaysia (MFA).
“Selepas pemindahan fungsi francais daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kepada KUSKOP, kita sekarang dalam proses merangka Dasar Pembangunan Keusahawanan Francais dan ini membabitkan sesi libat urus dengan banyak pemegang taruh termasuklah MFA dan ahli-ahlinya.
“Mudah-mudahan dengan dasar ini, kita dapat membentuk satu hala tuju yang kita boleh capai untuk menunjukkan komitmen kerajaan dengan kerjasama bersama industri francais.
“Dengan harapan kita dapat melancarkan dasar ini pada hujung tahun ini atau sekurang-kurangnya awal tahun depan,” katanya ketika ditemui media pada sesi tinjauan Expo Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia (FIM2024) yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R Ramanan, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Suriani Ahmad dan Pengerusi MFA, Datuk Radzali Hassan.
Sebanyak 248 reruai membabitkan 160 jenama francais tempatan dan luar negara dibuka mulai hari ini hingga dengan jangkaan 30,000 pengunjung menghadiri expo itu mulai hari ini hingga Sabtu.
Ewon berkata pihaknya turut menyasarkan nilai jualan sebanyak RM600 juta daripada FIM 2024.
Selain itu, katanya, Malaysia buat pertama kalinya (melalui FIM 2024) menjadi tuan rumah Mesyuarat Tahunan Asia Pacific Franchise Confederation (APFC) dan World Franchise Council (WFC) yang mengumpulkan wakil persatuan francais dari lebih 40 negara
“Ini adalah pengiktirafan daripada ahli-ahli Majlis Francais Antarabangsa dan ianya memberi impak yang besar kepada Malaysia kerana kita menjadi tumpuan.
“Saya berharap dengan adanya kekuatan MFA dengan sokongan kerajaan khususnya KUSKOP, kita dapat mengangkat lebih banyak lagi jenama francais yang dapat dikembangkan di dalam dan luar negara.
Dalam pada itu, Ewon turut menyarankan kepada bakal usahawan untuk menceburi sektor francais.
“Kita mempunyai kemudahan pembiayaan melalui Perbadanan Nasional Bhd (PERNAS) dan beberapa institusi perbankan lain yang juga menawarkan pembiayaan kepada syarikat-syarikat francais.
“Ini adalah satu peluang dan sudah tentu dengan penganjuran expo dan persidangan ini memberi impak besar kepada pemain industri francais sedia ada dan membuka mata kepada bakal-bakal usahawan francais (di masa akan datang,” katanya.
Sumber: BH Online
Artikel Penuh: https://www.bharian.com.my/amp/berita/nasional/2024/05/1253103/dasar-pembangunan-keusahawanan-francais-bentuk-hala-tuju-industri