SINAR ONLINE – 29 MARCH 2016
Antara koleksi batu permata yang dijual di Krafdunia
KRAFDUNIA adalah kedai milik syarikat Krafdunia Design yang terletak di Kompleks PKNS Shah Alam menawarkan pelbagai pilihan batu-batu permata dan kristal.
Daripada cincin, gelang, subang, loket sehingga kepada pelbagai jenis hiasan atau kraf yang diperbuat daripada batu-batu permata yang berwarna-warni.
Selain itu, dapat dilihat juga koleksi kristal yang terletak teratur, kemas dan cantik dalam rak-rak yang disediakan.
Ketika bertemu dengan pemilik kedai itu, Naharuddin Mohd Zain tidak lokek ilmu berhubung batu-batu permata dan kristal.
Naharuddin mengakui dia banyak mempelajari tentang baru-batu permata dan kristal ini menerusi pembacaan. Dia juga mempunyai banyak koleksi buku-buku berkaitan batu-batu permata.
Melihat kesungguhannya di dalam mengusahakan perniagaan batu permata itu, tidak terfikir bahawa dia pernah berhadapan dengan pelbagai cabaran perniagaan sebelum ini.
Bercerita tentang pengalaman dunia perniagaannya, Naharuddin berkata, sebelum berkecimpung di dalam dunia perniagaan, dia merupakan seorang pengurus cawangan sebuah syarikat insurans.
Selepas melihat potensi perniagaan yang cerah di dalam perniagaan emas pada 1995, dia mengambil peluang itu untuk membuka sebuah kedai emas terkemuka negara di Klang, Selangor.
“Ketika itu perniagaan kedai emas sedang rancak. Oleh itu, saya mengambil ruang ini untuk membuka francais kedai emas itu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, baru-baru ini.
Perniagaan kedai emas itu berjalan dengan baik, sehinggalah pada 1998 Naharuddin terpaksa menutup kedainya berikutan terkesan dengan kegawatan ekonomi ketika itu.
“Kegawatan ketika itu menyebabkan kami tidak mampu bertahan, jualan tidak ada dan kami terpaksa menanggung rugi yang tinggi sehingga kami mengambil keputusan untuk menutup perniagaan itu,” katanya.
Akibat kekecewaan itu, Naharuddin nekad untuk tidak membuka kedai emas lagi.
Berniaga pasar malam
Untuk membayar hutang yang banyak dan menambah pendapatan keluarga, Naharuddin terpaksa berniaga pasar malam pada 1999.
“Saya berniaga karakter karton seperti Pokemon ketika itu untuk menambah pendapatan keluarga.
“Ia berterusan selama hampir tiga tahun,” katanya ketika bercerita tentang pengalaman berhadapan dengan jatuh bangun dunia perniagaan.
Pada masa sama, Naharuddin terus bangun dengan mencari tapak-tapak untuk menjual pelbagai jenis produk antaranya produk kesihatan di Giant dan Tesco.
Atas usahanya itu, Naharuddin berjaya membuka beberapa tapak di beberapa pasar raya itu.
Namun, perniagaannya tidak kekal mana apabila dia berhadapan dengan kegagalan pengurusan tapak-tapak berkenaan.
Tidak mudah berputus asa adalah kunci kepada kejayaan Naharuddin, dia tetap berusaha untuk berniaga dengan membuka kedai kecil di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 2001.
“Saya menjual pelbagai barangan antaranya tudung, barang cenderahati dan alat tulis.
“Namun, kedai itu tidak lama kerana terpaksa ditutup. Saya kembali berniaga ke pasar-pasar malam pada 2003,” katanya.
Pada masa sama, Naharuddin turut membuat permohonan untuk mendapatkan kedai di Kompleks PKNS Shah Alam.
Selepas dua tahun menunggu, akhirnya permohonan Naharuddin berjaya pada 2006.
Miliki kedai tanpa barang
Naharuddin sangat gembira memiliki kedai tersebut. Namun, dia tidak pernah terfikir untuk menjual produk apa ketika itu.
“Kedai saya kosong. Selepas berfikir panjang, saya mengambil keputusan untuk membawa barang-barang daripada rumah ke kedai.
“Barang-barang itu adalah cenderahati saya beli ketika berkunjung ke luar negara ketika bekerja dahulu,” katanya.
Pada mulanya, Naharuddin membawa barangan itu supaya kedainya tidak nampak kosong. Namun, ada pelanggan yang datang turut membeli barang-barang berkenaan.
Lantaran itu, Naharuddin terdetik untuk menjual produk-produk kraf.
Berlatarkan kepada pengalaman menguruskan kedai emas itu, Naharuddin nekad untuk menghasilkan kraf batu-batu permata dan kristal pada 2007.
“Pada awalnya saya bermula dengan menjual cincin-cincin batu permata dan loket dari China.
“Kemudian saya menghasilkan rekaan cincin lelaki dan perempuan daripada batu permata,” katanya.
Menurutnya, dia menerima permintaan pelanggan yang sangat menggalakkan.
Bermula dari situ, Naharuddin mencari tukang-tukang batu permata untuk mereka bentuk produk-produk batu permatanya mengikut kehendak pelanggan.
Fokus industri perkahwinan
Krafdunia mendapat permintaan yang menggalakkan daripada pelanggan khususnya untuk perkahwinan seperti cincin nikah, tunang dan sebagainya.
Naharuddin berkata, keistimewaan Krafdunia adalah kerana reka bentuk produk mengikut kehendak pelanggan.
“Oleh itu, ia akan menjadi produk yang kami hasilkan adalah unik dan lain daripada yang lain.
“Daripada segi harga pula, produk kami 50 peratus jauh lebih murah berbanding harga pasaran,” katanya.
Menurutnya, kesemua matu permata yang terdapat di kedainya datang dari seluruh dunia antaranya Thailand, Myanmar, Sri Lanka, India dan Brazil.
Katanya, ada juga batu-batu permata yang dibelinya sendiri di luar negara dan ada juga yang diperoleh menerusi pameran dan ekspo serta pembekal dalam negara.
Naharuddin turut meyakinkan bahawa batu permata yang diperoleh di kedainya adalah 100 peratus asli.
Manakala, batu-batu kristal pula diperoleh di dalam negara seperti Pahang dan Kedah.
Setakat ini, Krafdunia menjual pelbagai bentuk batu permata dan kristal seperti cincin, gelang, loket dan gelang.
Selain itu, terdapat juga aksesori lain yang diperbuat daripada batu-batu permata.
Terkesan ekonomi semasa
Naharuddin berkata, dia mengambil masa selama hampir tiga tahun untuk memperkenalkan nama kedainya dan mengukuhkan perniagaan.
Selama sembilan tahun berniaga di Kompleks PKNS, Naharuddin mengakui 2015 dan 2016 merupakan tahun yang sangat mencabar.
“Kegawatan ekonomi sekarang hampir menyamai pada 1998. Namun, kami masih boleh bertahan kerana beban hutang tidak tinggi.
“Ketika memulakan perniagaan saya hanya menggunakan modal RM10,000 dan kebanyakan barang-barang dibeli secara tunai,” katanya.
Menurutnya, Krafdunia masih mendapat pengunjung tetapi tempahan sedikit berkurangan kerana pelanggan telah mula mengawal perbelanjaan.
Katanya, bagi mengukuhkan perniagaannya itu, Krafdunia telah menambah produk-produk sampingan lain seperti produk kesihatan, pakaian dan cenderahati.
Naharuddin berkata, pihaknya juga aktif di laman sosial bagi mempromosikan kedai dan produk sampingan lain.
“Kami juga menjual produk itu secara online bagi menambah pendapatan sampingan berikutan keadaan ekonomi semasa,” katanya.
URL : http://www.sinarharian.com.my/bisnes/dari-kedai-emas-kini-pengusaha-batu-permata-1.502719