18 Oktober 2014 – Berita Harian SG
MENJALANKAN perniagaan ayam penyet bukan mudah di Singapura apatah lagi dengan persaingan yang cukup sengit di sini.
Tetapi, ia bukan satu hambatan bagi jenama Dapur Penyet untuk terus berjaya sehingga menjadi satu-satunya perniagaan ayam penyet yang telah dapat difrancaiskan dengan jayanya di dalam dan luar negara.
Syarikat itu kini mempunyai 36 cawangan di Singapura, Brunei, Indonesia dan Malaysia.
Kejayaan Dapur Penyet, yang diasaskan oleh Encik Edy Ongkowijaya, diiktiraf malam kelmarin apabila ia memenangi anugerah berprestij – Pemilik Francais Terbaik oleh Persatuan Francais dan Pelesenan Singapura (FLA) dalam satu acara gilang-gemilang di Marina Bay Sands.
“Setelah membuka di empat negara, ia menunjukkan makanan ini diterima oleh semua lapisan bangsa dan memenuhi segmen pasaran halal.
“Francais memberi peluang kepada mereka yang berminat dalam bidang makanan tetapu tidak mempunyai kemahiran dan pengetahuan industri, untuk turut serta dalam perniagaan ini. Ia merupakan cara terpantas membangunkan perniagaan dan jenama,” ujar Encik Edy, 38 tahun, anak kelahiran Medan yang sudah bermohon menjadi rakyat Singapura.
Ditanya resipi kejayaan bagi memilih penyewa francais yang baik, beliau berkata pengalamannya bertemu bakal penyewa francais menjadikan beliau cukup arif untuk memilih penyewa yang beliau inginkan.
“Melalui soalan yang mereka tanya, saya dapat bezakan bakal penyewa yang berminat menceburi bidang francais itu untuk duit daripada mereka yang menceburinya kerana benar-benar minat,” jelas beliau, yang tinggal di Singapura sejak memasuki menengah satu di sini.
Anak bekas pemilik syarikat automotif ini pernah diminta pulang ke Indonesia apabila perniagaan bapanya muflis.
Beliau enggan pulang kerana mahu meneruskan persekolahan di sini, lantas berusaha mencari wang sendiri bagi membiayai yuran sekolah.
“Saya sempat jadi tukang cuci pinggan, pelayan restoran dan memberi tuisyen murid sekolah rendah untuk cari wang. Sedang teman-teman saya dari Indonesia lain habiskan hujung minggu bersuka ria, saya harus kerja,” kata Encik Edy, yang akhirnya berjaya mendapatkan diploma daripada Politeknik Nanyang dalam jurusan pemasaran.
Beliau yang pernah bekerja di sebuah syarikat Jepun, terbuka hati memulakan perniagaan apabila melihat kejayaan restoran francais Es Teler 77.
Beliau memulakan rangkaian gerai dan restoran Dapur Penyet pada 2008, dengan cawangan pertama dibuka di Jurong Point sebelum diluaskan di tempat baru, termasuk gerai di pusat makanan Clementi Mall, 23 Baghdad Street dan City Plaza.
Pada 2010, ia meluaskan francaisnya di Malaysia dan diikuti di Indonesia pada 2012. Tahun ini, ia membuka cawangan di Brunei.
Ditanya mengenai rancangan perluasannya, beliau agak keberatan meluaskan perniagaan di Singapura disebabkan kesukaran mencari pekerja.
“Tetapi, saya cukup fokus mahu mengembangkan lagi perniagaan di luar negara. Hari ini, saya akan bertemu dengan bakal penyewa dari Manila. Saya juga akan berbincang untuk membuka cawangan di Sydney dan Brisbane di Australia dan Myanmar.
“Bagi strategi jangka penjang, harapan saya ialah meluaskan perniagaan ke Timur Tengah dan China,” ujar Encik Edy, yang cukup berwawasan.
– See more at: http://beritaharian.sg/ekoniaga/dapur-penyet-raih-anugerah-francais#sthash.3Oeu4JRv.dpuf