26 April 2015 – Harian Metro
Bukan saja suaranya yang lunak didengar, malah sajian air tangan penyanyi lagu Doa Buat Kekasih, Datuk Khadijah Ibrahim sangat ‘menyelerakan’.
Bertanggungjawab memantau dan menjaga kualiti makanan, penyanyi mesra disapa Khaty ini turut bergelar ketua tukang masak di dapur restoran miliknya, Khadijah’s Kitchen.
Menyifatkan nyanyian dan dunia masakan seiring dalam kehidupannya, Khaty berkata, kedua-dua bidang memerlukan latihan secukupnya demi memastikan kualiti terbaik.
“Khadijah’s Kitchen bagi cawangan Shah Alam, Selangor yang juga ketiga selepas Petaling Jaya dan Setapak, baru memulakan operasi sejak awal bulan lalu.
“Kali ini kita memperkenalkan konsep kopitiam yang sesuai sebagai tempat bersosial bagi keluarga, kumpulan rakan serta mereka yang ingin mengadakan pertemuan ringkas untuk menghabiskan masa berkualiti bersama sambil menikmati sajian warisan Malaysia asli.
“Kita masih mengekalkan menu sajian warisan Malaysia asli seperti laksa Johor, gulai lemak daging salai, asam pedas tenggiri, sotong masak hitam, tauhu telur, beriani ayam dan ayam kapitan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Menariknya, setiap sajian di Khadijah’s Kitchen bukan resipi warisan keluarga Khaty, sebaliknya diperoleh daripada orang terdekat, sama ada ahli keluarga mahupun individu persendirian.
“Resipi asam pedas ikan tenggiri saya peroleh daripada seorang mak cik digelar Mak Yah. Masakannya yang enak membuatkan saya berminat untuk berkongsi bersama pelanggan Khadijah’s Kitchen.
“Resipi sotong masak hitam pula milik kakak ipar bernama Masria. Sama seperti sajian lain, kebanyakan resipinya saya dapat daripada orang luar yang benar-benar mengekalkan rasa asli bagi setiap hidangan.
“Setiap pelanggan menginginkan kepuasan dalam makanan dan Khadijah’s Kitchen berusaha memenuhi keinginan itu,” katanya yang turut mempelajari masakan Cina daripada ibu angkat berketurunan Tionghua.
Tidak dinafikan, laksa Johor antara menu popular di Khadijah’s Kitchen sememangnya lazat dan menghasilkan aroma yang menyelerakan.
Menurut Khaty, kuah laksa Johor menggunakan bahan mentah segar seperti ikan kurau masin, ikan tenggiri, udang kering dan udang segar.
Kemudian, ia digabungkan bersama lobak jeruk, tauge kering, daun selasih, bunga kantan, daun kesom dan sedikit belacan bagi menghasilkan aroma menarik.
Mengenai ruang kedai yang mampu memuatkan kira-kira 100 pelanggan pada satu-satu masa, Khaty berkata, sambutan diterima daripada penduduk Shah Alam sangat menggalakkan.
Restoran bakal difrancaiskan
Aktif mengusahakan Khadijah’s Kitchen bersama dua rakan kongsi, Khaty mengakui dirinya bekerja keras untuk mengembangkan perniagaan tetapi pada masa sama, giat memenuhi jemputan sebagai penyanyi.
Selepas membuka cawangan Khadijah’s Kitchen yang ketiga di Shah Alam, beliau bercadang menjadikan perniagaannya secara francais dalam tempoh terdekat, malah francaisi turut dilantik.
“Kita bakal membuka 11 francais Khadijah’s Kitchen, antaranya Cyberjaya, Melaka, Muar, Ipoh, Kuantan dan Alor Setar.
“Selain itu, kita akan melebarkan sayap ke luar negara, termasuk di Bandung di Indonesia; Singapura dan Sydney, Australia.
“Dalam memastikan kualiti makanan terjamin, Khadijah’s Kitchen memiliki ‘central kitchen’ yang beroperasi di Petaling Jaya, sejak setahun lalu.
“Dengan adanya ‘central kitchen’ ini, pelanggan dapat menjamu selera di mana-mana cawangan dan rasa serta kualiti tetap sama tanpa ada sedikit perubahan,” katanya yang bakal mengeluarkan pes resipi laksa Johor dan sate siap diperap.
Menurut penyanyi yang bakal mengeluarkan single terbaru, Kurnia Baiduri pada Disember depan, cawangan Khadijah’s Kitchen di Setapak, bakal dijadikan pusat sehenti buat pelancong asing yang ingin mengenali budaya Malaysia, sama ada seni muzik mahupun sajian tradisional.
Bakal menganjurkan konsert di Istana Budaya pada 22 hingga 24 Januari 2016, kemunculan Khaty dianggap menghilangkan kerinduan peminat yang ingin menyaksikan sendiri penyanyi bersuara hebat ini di pentas.