KUALA LUMPUR 28 Jun – Cornery FNB Sdn. Bhd. menyasarkan untuk mencatat nilai jualan berjumlah RM15 juta tahun ini melalui tiga jenama francais di bawah syarikat berkenaan iaitu Street Churros, Cornery dan Softree berbanding hanya RM6 juta yang direkodkan pada 2016.
Pengarah Urusan Cornery FNB, Datuk Joe Tan berkata, pihaknya yakin unjuran berkenaan dapat dicapai kerana ia merupakan jumlah yang realistik dipacu oleh pembukaan beberapa lagi cawangan tahun ini.
“Selain itu, kami juga giat melakukan aktiviti pemasaran termasuk promosi melalui media sosial dan memperkenalkan menu baharu setiap enam bulan sekali bagi memastikan produk kami sentiasa segar dan diminati.
Cornery FNB adalah pemilik lesen francais induk kafe Street Churros, kedai popcorn Cornery dan kedai ais krim organik Softree di Malaysia dengan setakat ini telah memiliki 13 cawangan bagi ketiga-tiga jenama berkenaan.
“Cornery FNB juga sedang berusaha dan merancang untuk membawa masuk beberapa jenama francais baharu ke Malaysia.
Katanya, syarikat akan terus mengekalkan produk dan jenama francais berbentuk pencuci mulut dan kudapan mengambil kira citarasa rakyat Malaysia.
“Kami optimis makanan berbentuk pencuci mulut amat diminati rakyat Malaysia apatah lagi bagi Street Churros sahaja kami berjaya menjual purata 1,000 churros sehari bagi satu cawangan.
“Selain membawa masuk jenama baharu, kami juga sedang dalam proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi mewujudkan jenama kafe kami sendiri yang mungkin akan mula beroperasi tahun hadapan,” katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/bisnes/ekonomi/cornery-fnb-unjur-jualan-francais-rm15-juta-1.497113#ixzz4ofkCPZiS
© Utusan Melayu (M) Bhd