14 Jun 2014 – Malaysia Gazette
Pengeluar jenama minuman dan pencuci mulut berasaskan teh, CoolBlog Dessert Sdn.Bhd. memenangi Anugerah Rekabentuk Pempamer Terbaik di Pameran Francais Antarabangsa Malaysia (FIM) 2014 kali ini.
Dalam majlis yang sama Paddington House of Pancakes pula memenangi anugerah bagi kategori Pempamer Standard di pameran yang dilancarkan pagi tadi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Kedua-dua jenama berkenaan merupakan antara 118 pempamer yang menyertai pameran antarabangsa selama tiga hari bermula semalam.
Pemenang anugerah menerima sijil penghargaan serta rebat RM5,000 bagi penyertaan pada pameran FIM 2015.
Kesemua hadiah telah disampaikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Sri Hasan Malek.
Antara aktiviti yang diadakan adalah persidangan antarabangsa dari penceramah tempatan dan antarabangsa dengan ucaptama khas oleh Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata, Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly.
Pameran selama tiga hari ini dijangka menarik kira-kira 12,000 pengunjung dengan sasaran urusniaga sebanyak RM 370 juta berbanding RM368 juta tahun lepas. – MalaysiaGazette