14 Jun 2014 – Bernama
KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) — Coolblog Dessert Sdn Bhd, sebuah syarikat pencuci mulut dan minuman tempatan, berminat untuk membantu usahawan Bumiputera meneroka industri makanan dan minuman (F&B) melalui skim francais.
Pengarah Eksekutifnya, Jerrene Pang Hsiao Yuin, berkata 90 peratus daripada pemegang francaisnya adalah Bumiputera kerana ia adalah rantaian teh buih pertama yang disahkan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Jenama yang disahkan halal itu telah membina keyakinan dalam kalangan pengguna Islam.
“Sebagai satu-satunya jenama yang disahkan halal dalam kalangan minuman teh, usahawan-usahawan kami mempunyai kelebihan dalam memenuhi permintaan penduduk Islam,” katanya kepada Bernama di luar acara Franchise International Malaysia 2014.
Dengan sijil halal yang diperoleh daripada Jakim pada 2010 itu, pengusaha pencuci mulut beli dan bawa pulang itu mengendalikan pemeriksaan mengejut ke atas pembekal untuk memastikan mereka mematuhi piawaian halal.
Pang berkata pada masa ini Coolblog mempunyai 320 cawangan dan ia merancang untuk memasuki pasaran Thailand, Kemboja dan Filipina dalam masa lima tahun lagi.
Awal tahun ini, jenama itu membuka dua cawangan di Surabaya, Indonesia dan merancang untuk membuka 10 lagi cawangan di sana menjelang akhir tahun.
Syarikat itu mencatatkan jualan bernilai RM70 juta tahun lepas dan ia menjangkakan pertumbuhan jualan sebanyak 20 peratus setahun.
Menurut Pang syarikat yang menawarkan 300 produk itu menguasai 45 peratus agihan pasaran pencuci mulut F&B bawa pulang pada masa ini.
“Penggunaan bulanan minuman kami adalah kira-kira dua juta cawan,” katanya.
Keseluruhan pelaburan bagi sebuah cawangan ialah RM130,000, manakala pendapatan purata sebulan bagi satu kiosk ialah di antara RM30,000 dan RM40,000 bergantung kepada lokasi.
— BERNAMA