25 April 2015 – Harian Metro
Bagi memudahkan pengguna merasai pengalaman baru membeli langsir untuk tingkap kediaman, Bilik Pameran Bergerak Elyza’s (EMS) dilancarkan.
Menerusi slogan Kami Datang Kepada Anda Pada Bila-bila Masa dan Di Mana Saja, EMS berfungsi hampir sama dengan bilik pameran sedia ada untuk memenuhi keperluan pengguna terutama yang sentiasa sibuk.
“Bilik pameran bergerak ini berada di semua lokasi sekitar Lembah Klang.
“Ia membawa bersama sampel fabrik, katalog, sistem trek langsir, rangkaian langsir beralun dan contoh peralatan sistem bermotor untuk pemasangan langsir.
“Malah, penasihat jualan terlatih juga disediakan untuk memberikan perkhidmatan ukuran secara percuma,”kata Pengasas dan Ketua Pegawai Operasi Elyza’s Home (M) Sdn Bhd, Elyza Yong ketika majlis pelancaran EMS di pusat beli-belah SACC MALL, Shah Alam Selangor, baru-baru ini.
Turut hadir Pengarah Urusan Elyza’s Home (M) Sdn Bhd, Teh Kiong Hui dan Pengerusi Persatuan Francais Malaysia Datuk Mohd Latip Sarrugi.
Menariknya harga yang ditawarkan menerusi perkhidmatan EMS sentiasa rendah, lebih baik dengan pengecualian cukai barang dan perkhidmatan (GST).
“Pihak kami berusaha membantu anda memahami situasi hari ini apabila berdepan dengan peningkatan kos sara hidup dan kes jenayah.
“Anda mampu mendapatkan langsir terbaik untuk kediaman tanpa perlu ke bilik pameran,” kata Elyza.
Hanya dengan lima langkah mudah, pastinya impian menzahirkan dekorasi unik menerusi penggayaan langsir tercapai.
Mulakan dengan temu janji, khidmat nasihat dan contoh yang disediakan secara 3D.
Seterusnya buat pengesahan tempahan dan dapatkan khidmat pemasangan secara profesional daripada Elyza’s.
Perkhidmatan dari kedai ke pintu kediaman ini tersedia untuk pengguna di Lembah Klang.
Layari laman web Elyza’s untuk mendapatkan khidmat nasihat dan prebiu secara percuma.
Elak jemur pada bahagian permukaan
Aura ruang tidak hanya terletak pada pemilihan langsir sempurna kerana serinya boleh hilang jika aspek penjagaan kurang diberi perhatian.
Jadikan hujung minggu sebagai waktu paling bermanfaat untuk mengemas ruang bersama keluarga.
Ia termasuk membuang habuk pada langir menggunakan bulu ayam atau vakum bermula dari atas ke bawah.
Aktiviti ini nampak remeh, tetapi mampu mengekalkan keindahan ruang yang dilengkapi dengan hiasan tingkap iaitu langsir.
Ketika membersihkannya, beri tumpuan pada bahagian hujung langsir kerana habuk sering terperangkap di bahagian itu.
Anda boleh gunakan kain lembap untuk mengelap permukaan langsir. Bagaimanapun elak mengelap langsir yang berwarna cerah.
Ini kerana kesan habuk tebal boleh mengotorkan lagi permukaan langsir ketika dilap.
Sesetengah langsir memerlukan cucian kering, jadi kenal pasti jenis fabrik langsir di kediaman anda. Ini bagi memastikan langsir sentiasa dalam keadaan baik walaupun sudah berkali-kali dicuci.
Pada masa sama membasuh langsir di dalam mesin pencuci adalah cara paling mudah.
Jangan lupa untuk terbalikkan langsir ketika menjemur di bawah terik matahari. Jika dijemur bahagian permukaan boleh menyebabkan warnanya pudar.
Bagaimanapun, jika kekotoran habuk pada langsir terlalu tebal sebaiknya rendam dulu dengan air suam untuk seketika sebelum dicuci. Elak menggunakan sabun ia mungkin boleh melunturkan langsir berwarna gelap.