23 September 2015 – Utusan Malaysia
CIMB Bank bakal menganjurkan seminar CIMB Best bertema Menceburi Keusahawanan Melalui Francais khas bagi usahawan bumiputera yang ingin menceburi bidang francais pada 29 September ini di Kuala Lumpur
KUALA LUMPUR 22 Sept. – CIMB bakal menganjurkan seminar CIMB Best dengan tema “Menceburi Keusahawanan Melalui Francais” khas bagi usahawan bumiputera yang ingin menceburi bidang francais.
CIMB berkata, seminar tersebut akan diadakan pada Selasa, 29 September di Dewan Srivijaya, Menara Bumiputra-Commerce, Jalan Raja Laut , Kuala Lumpur bermula jam 9 pagi hingga 1 tengah hari.
Katanya, antara topik perbincangan termasuklah sesi perkongsian bersama pakar perniagaan francais di Malaysia, sesi pemahaman mengenai mengapa memilih perniagaan francais dan perkongsian kisah kejayaan oleh pemegang francais.
“Bagi sesi pertama, perkongsian pengalaman akan dibuat oleh Pengerusi Persatuan Francais Malaysia, Datuk Mohd Latib Sarrugi, Ketua Bahagian Operasi Perniagaan Perbadanan Nasional Bhd., (PNS) Shahrul Azlan Mohd Zulkifli, Penasihat Kehormat Asean Retail & Franchise Federation dan Pengarah Urusan bagi D’Tandoor Food Industries Sdn. Bhd., Datuk Abdul Malik Abdullah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Bagi sesi kedua, Ketua Pegawai Eksekutif SMART Reader Kids Datuk Seri Richard Ong, Ketua Pegawai Eksekutif, Cambridge English for Life, Dr Elsie Chin dan Naib Presiden Strategi Korporat Myhomme Group Resources Sdn. Bhd. (AquaNano), Amran Shah Idris akan memberi para peserta pemahaman yang lebih kukuh untuk menyertai industri francais.
“Bagi sesi terakhir, tiga pemilik francais yang berjaya akan berkongsi kisah kejayaan, pengalaman, cabaran dan rahsia kejayaan mereka.
“Antaranya adalah Pengarah Urusan, Zahriah Affiq Resort Sdn. Bhd., Datuk Zahriah Abd Kadir; Pengarah Urusan, HR Bistari Sdn. Bhd., Alias Ayob dan Pemilik, Boost Juice Bar (Malaysia, Singapura & Brunei) Dr Soraya Rahim,” katanya.
Sejak awal tahun ini, Program Transformasi Kemahiran Usahawan Bumiputera CIMB (CIMB BEST) telah memperkasakan lebih daripada 300 para usahawan Bumiputera di Malaysia.
Sumber : Utusan Malaysia