-Utusan Online 18 Disember 2015-
Ahmad Razif Abd. Rahman (kanan) menunjukkan salah satu menu ayam panggang Chicken Cottage di Kuala Terengganu, semalam. Turut kelihatan, Wan Ismail Wan Yusoh (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Chicken Cottage Malaysia, Mohd Anuar Osman.
KUALA TERENGGANU 17 Dis. – Kerajaan negeri yakin rangkaian restoran makanan segera antarabangsa, Chicken Cottage akan menjadi tarikan terbaharu kepada penduduk setempat dan pelancong yang berkunjung ke negeri ini khususnya sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2017 nanti.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, justeru, pihaknya menyasarkan untuk membuka sembilan buah lagi cawangan restoran tersebut di negeri ini dalam tempoh lima tahun untuk tujuan tersebut.
Pada masa yang sama katanya, selaku pemegang syer terbesar dalam perniagaan francais tersebut, kerajaan negeri juga berhasrat membuka sebanyak 350 cawangan baharu dalam tempoh yang sama dengan peruntukan untuk membina sebuah outlet tersebut dianggarkan bernilai di antara RM800,000 hingga RM1.2 juta.
“Kita wujudkan Chicken Cottage ini di Terengganu sebagai satu penghargaan dan tanda terima kasih di atas sokongan rakyat terhadap kepimpinan kerajaan negeri walaupun dari segi prospek perniagaan, restoran ini sepatutnya dibuka di tempat yang mempunyai permintaan tinggi seperti di Lembah Kelang dan sebagainya.
“Bagaimanapun, kita juga telah menerima permintaan untuk membuka restoran ini di beberapa tempat di Malaysia termasuk Putrajaya, Kuala Lumpur, Johor dan Kelantan.
“Insya-Allah, saya nampak peluang untuk Chicken Cottage berkembang di Malaysia agak baik,” katanya selepas majlis perasmian rangkaian restoran yang pertama di Malaysia itu di Ladang Tok Pelam di sini hari ini.
Yang hadir sama Pengerusi TI Global Food Management Limited (TIGFM), Datuk Wan Ismail Wan Yusoh; Ketua Pegawai Eksekutif Chicken Cottage Ltd. (United Kingdom), Gerry Rankin serta beberapa kenamaan lain.
Turut diadakan pada majlis yang sama ialah acara menandatangani memorandum persefahaman di antara Terengganu Incorporated Global Food Holdings (TIGFH) dengan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang bertujuan menjadikan restoran itu sebagai satu sumber rujukan dan penyelidikan kepada cawangan baharu yang akan dibuka pada masa akan datang.
Chicken Cottage yang mula beroperasi di Wembley, United Kingdom pada 1994 adalah satu nama yang semakin kukuh dalam industri restoran makanan segera dengan mempunyai lebih 100 francais di United Kingdom, Eropah, Afrika Utara dan Asia Barat.
Sayap pelaburan negeri, Terengganu Inc. Sdn. Bhd. (TISB), bersama Global Food Brand Limited telah menubuhkan TIGFH bagi menguasai 70 peratus saham Chicken Cottage Limited dan memiliki jenama itu pada Febuari 2014 daripada pemilik terdahulu sekali gus menjadikannya sebagai jenama Malaysia sepenuhnya.
URL : http://www.utusan.com.my/bisnes/korporat/chicken-cottage-jadi-tarikan-terbaharu-di-terengganu-1.170099#sthash.AisUcMKK.dpuf