Kuala Lumpur, 25 Feb 2021,
Cosmo Restaurants Sdn Bhd (Burger King Malaysia), pemegang francais Burger King Corporation di negara ini akan melabur RM30 juta untuk membuka 25 restoran baharu menjelang akhir 2021.
Pelaburan itu akan membolehkannya mencapai sasaran untuk mengembangkan 20 peratus pasaran pada tahun ini, sempena dengan pelancaran identiti visual Burger King baharu.
Burger King juga akan memperbaharui logo, pembungkusan, pakaian seragam kru, papan tanda dan hiasan restoran.
Reka bentuk baharu restoran Burger King akan membolehkan urusan penjarakan fisikal dan urusan pengesanan kontak rapat dijalankan dengan lebih cekap, menerusi kemudahan seperti pandu-masuk, sistem pesanan kod QR dan aplikasi web.
Ketua Pegawai Eksekutif Burger King Malaysia, Ng Lee Tieng, berkata ini adalah penjenamaan semula lengkap yang pertama dalam tempoh lebih 20 tahun, dengan penjenamaan baharu diilhamkan daripada makanan sebenar dan lazat.
“Reka bentuk baharu melambangkan penambahbaikan terkini Burger King terhadap rasa dan kualiti makanan serta tindakan untuk mengabaikan segala jenis warna, bahan perasa dan pengawet daripada sumber buatan dalam resipi kami, bersesuaian dengan peredaran zaman,” katanya dalam satu kenyataan.
Burger King Malaysia kini menguruskan lebih 120 restoran di Malaysia, dengan sasaran membuka restoran ke-147 menjelang akhir 2021.
Lee Tieng berkata, dengan adanya penjenamaan baharu, Burger King Malaysia bertekad untuk terus maju dan meneruskan rancangan pengembangan agresifnya di tengah-tengah kemelut ekonomi sedang melanda Malaysia akibat wabak COVID-19, kerana rancangan ini dapat membantu ekonomi negara.
“Walaupun operasi perniagaan terkesan akibat COVID-19 yang melanda negara pada tahun lalu, kami tetap melabur RM22 juta untuk membuka 18 restoran baharu, lapan antaranya dilancarkan pada Disember dan empat daripadanya mengikut identiti visual baharu,” katanya.
Beliau menambah, restoran baharu terbabit juga mencipta peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia.
Dalam masa sama, katanya, Burger King Malaysia membelanjakan lebih RM1 juta dari Mac tahun lalu hingga kini untuk membeli pembasmi kuman, sarung tangan dan pelitup muka untuk semua pekerja serta pengunjung restoran.
Burger King Malaysia, tegasnya, akan terus berusaha untuk meningkatkan prosedur keselamatan supaya keselamatan pelanggan dan pekerja terjamin.
Sumber: Berita Harian
Artikel Penuh: