20 September 2014 – Utusan Malaysia
CYBERJAYA 19 Sept. – Burger Bakar Kaw Kaw berhasrat meluaskan cabang perniagaan mereka dengan membuka peluang francais kepada golongan muda yang berminat untuk menceburi industri perniagaan makanan.
Pengarah Protalitis Resources Sdn. Bhd., Nini Haznita Muhammad berkata, pihaknya berhasrat untuk menggalakkan generasi baharu menjadikan keusahawanan sebagai peluang masa hadapan khususnya bersempena penganjuran Gabungan Rakan Usahawan Aspirasi Terhebat 2014 (GREAT 2014).
“Kami menyasarkan membuka peluang francais sebelum hujung tahun ini bersempena ulang tahun ketiga pembukaan kami sebagai peniaga burger bakar pertama di Malaysia.
“Bagaimanapun peluang ini hanya terbuka kepada mereka yang benar-benar mempunyai kemampuan menguruskan perniagaan selain mendapat latihan secukupnya sebelum diberi ruang untuk membuka francais Burger Bakar Kaw Kaw,” katanya.
Beliau ditemui Utusan Malaysia bersempena program GREAT 2014 yang diadakan di Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) di sini hari ini.
Nini Haznita menambah, pihaknya memerlukan tempoh yang agak lama untuk membuka peluang francais kerana perlu menyediakan standard penyediaan burger bakar agar makanan segera dihasilkan itu berkualiti tinggi.
Ujarnya, Burger Bakar Kaw Kaw sebagai produk tempatan mahu mencontohi kejayaan produk makanan segera antarabangsa yang mewujudkan garis panduan penyediaan makanan sebelum memberi peluang francais kepada para usahawan.
Dalam pada itu, Nini Haznita memuji langkah kerajaan dalam menganjurkan GREAT 2014 dan ia dilihat memberi ruang kepadanya untuk memberi pendedahan kepada golongan muda yang mahu menceburi perniagaan makanan dan minuman.
“Ruang sepanjang empat hari program ini berlangsung telah membuka banyak peluang kepada generasi muda untuk mendalami asas keusahawanan selain dapat mewujudkan rangkaian perniagaan.
“Burger Bakar Kaw Kaw telah diberi ruang dalam satu bengkel semalam untuk berkongsi pengalaman jatuh bangun kami dengan hanya bermodalkan RM20,000 ketika mula berniaga dan kini pendapatan kami berjaya mencapai jutaan ringgit,” katanya.