14 March 2015 – Sinar Harian
FOOD Artist (M) Sdn Bhd, francaisor burger bakar ‘Abang Burn’, menyasarkan untuk menggandakan jualannya kepada kira-kira RM20 juta dalam tempoh dua tahun, kata Pengarah Urusan dan Pengasasnya, Sabrie Salleh.
Jangkaan permintaan yang perlahan bagi enam bulan pertama selepas pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan pada April, beliau mengunjurkan jualan tahun ini akan berjumlah RM12 juta.
“Saya menjangkakan jualan akan meningkat selepas tempoh itu dan hampir dua kali ganda disokong oleh sistem lebih baik yang diperkemaskan oleh kami serta dan kepimpinan yang baik,” katanya.
Sabrie berkata, sebanyak 4.5 juta ‘Burger Bakar Abang Burn’ dijual sejak dua setengah tahun yang lepas, menguasai 32 peratus pasaran burger bakar di negara ini, yang menjadikannya peneraju terbesar segment tersebut.
“Kami berkembang dengan pantas dalam pasaran bagi tempoh empat setengah tahun yang lepas. Walaupun kami bukan perintis, kami dapat mengambil peluang daripada jenama dan produk kami,” katanya kepada Bernama di luar Sidang Kemuncak Francais Antarabangsa 2015 baru-baru ini.
Burger Bakar Abang Burn, yang merevolusi burger yang dijual tepi jalan, dijual pada harga purata RM7.50.
Sebagai francaisor tempatan, Sabrie menasihatkan sesiapa yang berhasrat menjadi francaisi perlu memastikan francaisor yang menjadi minat mereka,
mempunyai kepimpinan yang baik, perancangan perniagaan yang baik dan sistem operasi yang kukuh bagi menyokong perniagaan dalam tempoh yang panjang.
Mengenai pelan pengembangan Burger Bakar Abang Burn, beliau berkata syarikat itu sedang mengukuhkan sistemnya dan meningkatkan jumlah francaisi daripada 11 pada masa sekarang kepada 20 menjelang akhir tahun 2016.
Syarikat memperuntukkan kira-kira RM500,000 tahun ini untuk kerja-kerja mengindahkan kedai francaisi supaya ia lebih menarik kepada pelanggan, katanya.
Kedai-kedai tersebut merekodkan jualan antara RM60,000 dan RM90,000 sebulan, bergantung kepada lokasinya dan jumlah pelanggan, katanya, dengan menambah Food Artist tidak mengenakan sebanyak royalti kepada francaisi, sebaliknya ia berperanan lebih sebagai pengeluar, dengan memanfaatkan jualan kedai francaisinya. – Bernama