16 Jun 2015 – Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR 15 Jun – Wonderful Lifestyle Sdn. Bhd., rakan kongsi francais induk Gloria Jean’s Coffees di Malaysia dan Brunei akan memperluaskan cabang perniagaannya dengan mewujudkan kilang memanggang kopi dengan pelaburan sebanyak RM10 juta yang dijangka bermula suku pertama 2016.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Fauzi Awang berkata, kilang tersebut akan mengeluarkan kopi jenama di bawah Retail Food Group (RFG) seperti produk kopi Gloria Jean’s Coffee dan De Bella Coffee yang akan dipasarkan di pasar raya seluruh negara.
Katanya, syarikat kini dalam peringkat perbincangan dengan RFG mengenai rancangan terbabit dan pihaknya berminat untuk membawa masuk kesemua 10 jenama yang berada di bawah syarikat dari Australia terbabit.
“Ketika ini kami sedang mencari lokasi yang sesuai untuk kilang terbabit yang mungkin akan berada di Kuala Lumpur atau Shah Alam. “Kami juga ada berbincang dengan agensi kerajaan iaitu SME Bank untuk bekerjasama dan menggunakan kilang milik mereka untuk kilang memanggang kopi ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis memperkenalkan bufet Ramadan di empat cawangan Gloria Jean’s Coffee di sini hari ini.
Yang turut hadir, Rakan Francais, Suhaimi Mohhtar.
Bufet Ramadan yang terdapat di cawangan Subang Parade, Dataran Maybank, Setiawalk Mall (Puchong) dan Institut Jantung Negara (IJN) tersebut berharga RM45 bagi dewasa dan RM22 untuk kanak-kanak, manakala kanak-kanak di bawah lima tahun pula percuma.
Sementara itu, Fauzi berkata, syarikat akan membuka lapan cawangan Gloria Jean’s Coffee baharu di Jawa Timur, Indonesia dalam masa setahun dari sekarang, dengan cawangan pertama akan dibuka di Surabaya pada 10 Julai depan diikuti Jogjakarta, Makassar serta Balik Papan.
“Pelaburan di Indonesia adalah daripada rakan perniagaan kami di sana iaitu PT Bogajaya dan kami melatih dan menggunakan jenama dan produk melalui kami. Syarikat dalam masa enam bulan juga akan membuka cawangan pertama di Myanmar dan Bali, Indonesia serta di Vietnam pada suku pertama 2016,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu sebanyak 13 cawangan baharu telah dibuka dari awal tahun sehingga kini dan sembilan lagi akan dibuka menjelang hujung tahun ini.
Jelasnya, syarikat telah memperoleh 32 permohonan untuk menjadi francais Gloria Jean’s Coffee dari Pameran Francais Antarabangsa Malaysia 2015 (FIM) dan daripada jumlah terbabit, syarikat menyasarkan untuk mempunyai 32 cawangan baharu di Malaysia pada tahun depan.