27 November 2014 – Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR 26 Nov. – Brahim’s Holdings Bhd. (Brahim’s) mengumumkan pembelian rangkaian francais makanan segera, Burger King di Malaysia dan Singapura dengan pelaburannya sebanyak RM95 juta, daripada Ekuiti Nasional Bhd. (Ekuinas)
Pembelian itu dilakukan menerusi subsidiari milik penuhnya, Brahim’s Trading Sdn. Bhd. (Brahim’s) dengan kerjasama Quantum Angel Sdn Bhd (Quantum Angel). Quantum Angel merupakan firma ekuiti persendirian.
Pelaburan itu dibuat dengan mengambil alih 100 peratus kepentingan ekuiti Rancak Selera Sdn. Bhd. (Rancak Selera) yang merupakan syarikat pelaburan milik Ekuinas, iaitu entiti pelaburan ekuiti milik kerajaan.
Rancak Selera merupakan pemilik Cosmo Restaurants Sdn. Bhd. (Cosmo) dan Burger King Singapore Pte. Ltd. (BK Singapore), yang mana kedua-duanya merupakan pemegang hak francais Burger King di Malaysia dan Singapura.
Menurut Brahim’s, sebuah syarikat khas akan dibentuk selepas pengambilalihan Rancak Selera, dengan Brahim’s akan menguasai 80 peratus kepentingan di dalam SPV itu, sementara Quantum Angel memiliki 20 peratus baki kepentingan lagi.
Pengerusi Eksekutif Brahim’s, Datuk Seri Ibrahim Ahmad berkata, pihaknya gembira dengan pelaburan tersebut memandangkan Burger King telah mempunyai jenama yang kukuh dalam kalangan pengguna di Malaysia dan Singapura.
“Tambahan pula, penglibatan kami bersama telah bermula sejak 15 tahun lalu melalui cawangan Burger King di KLIA. Disertakan lagi dengan kemampuan Quantum Angel yang diketuai oleh Datuk Ahmad Zaki Zahid yang mempunyai pengalaman di di dalam sektor restoran makanan segera,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ahmad Zaki dijangka mengetuai kerjasama antara Brahim’s dan Quantum Angel di Malaysia dan Singapura.
– See more at: http://www.utusan.com.my/bisnes/korporat/brahim-8217-s-ambil-alih-burger-king-malaysia-singapura-1.29586#sthash.riRnu4l5.dpuf