26 November 2014 – Bernama
KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) — Brahim’s Holdings Bhd menerusi subsidiari Brahim’s Trading Sdn Bhd dan Quantum Angel Sdn Bhd melabur RM95 juta dalam francais Burger King di Malaysia dan Singapura.
Pelaburan itu melibatkan pengambilalihan 100 peratus kepentingan ekuiti dalam Rancak Selera Sdn Bhd, syarikat pegangan pelaburan Ekuiti Nasional Bhd.
“Sebuah syarikat jentera tujuan khas (SPV) akan ditubuhkan selepas pengambilalihan Rancak Selera dengan Brahim’s memiliki 80 peratus ekuiti dan baki dipegang oleh Quantum Angel,” kata Brahim’s dalam satu kenyataan Rabu.
Syarikat itu berkata ia akan mendapatkan pelabur bersama strategik untuk mengambil alih 30 hingga 40 peratus kepentingan ekuiti baharu.
Rancak Selera merupakan syarikat pegangan bagi Cosmo Restaurants Sdn Bhd dan Burger King Singapore Pte Ltd yang masing-masing memiliki hak francais jenama Burger King di Malaysia dan Singapura.
“Kami yakin perniagaan akan berkembang berdasarkan pembabitan kami bersama Burger King sejak 15 tahun lalu melalui outlet Burger King KLIA kami.
“Ini disokong dengan kepakaran Quantum Angel yang diteraju Datuk Ahmad Zaki Zahid yang mempunyai pengalaman luas dalam sektor QSR,” kata Pengerusi Eksekutif Brahim’s Datuk Seri Ibrahim Ahmad.
— BERNAMA