Petaling Jaya, 10 Jun 2022,
Rangkaian restoran berinspirasikan makanan Thailand milik Malaysia, Boat Noodle menyasarkan untuk mengembangkan perniagaan francaisnya di seluruh negara dengan sasaran operasi 150 cawangan dalam tempoh lima tahun akan datang.
Sasaran itu dijangka mampu dicapai dengan sokongan pemegang saham rasmi sejak tahun 2016, Toridoll Holdings dan kerjasama baharu dengan koperasi Pekerja FELDA Malaysia Berhad (KOGUNA) yang akan menawrkan perniagaan francais Boat Noodle kepada penerima manfaat FELDA.
Ini sejajar dengan rancangan Boat Noodle untuk membuka peluang kepada rakyat Malaysia, terutama yang tinggal di bandar kecil atau kawasan penempatan FELDA dengan peluang perniagaan di samping membawa pengalaman Boat Noodle kepada masyarakat dan rangkaian yang lebih luas di seluruh negara.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Boat Noodle, Tony Lim Chin Hau berkata, model perniagaan francais ialah konsep lot kedai baharu yang dibangunkan oleh Boat Noodle kerana impak perubahan yang berlaku ketika pandemik.
“Memandangkan ekonomi kini dibuka semula, kami ingin memulakan kerjasama dengan lebih ramai rakyat Malaysia yang bercita-cita untuk memiliki perniagaan sendiri, terutamanya di bandar-bandar kecil melalui tawaran strategik untuk merealisasikan impian mereka.
“Boat Noodle bukan satu jenama yang asing bagi kebanyakan rakyat Malaysia. Dengan pengetahuan mengenai jenama, kesetiaan kepada produk serta bimbingan yang tepat termasuk latihan operasi, pemasaran dan promosi, dan lain-lain daripada pengurusan Boat Noodle, pemilik francais berpotensi untuk menikmati hasil kerja keras mereka dalam tempoh selepas 24 bulan menjalankan perniagaan francais.
“Harapan kami adalah untuk mewujudkan kerjasama jangka masa panjang dengan KOGUNA untuk membuka lebih banyak kedai Boat Noodle bersama-sama,” katanya dalam kenyataan.
Kerjasama itu diumumkan di cawangan terbaharu Boat Noodle di Bandar Seri Putra, Bangi, dekat sini yang menjadi tanda termeterainya kerjasama francais pertama antara Boat Noodle dan KOGUNA.
Sementara itu, Pengerusi KOGUNA, Safie Muda berkata, kerjasama ini hadir tepat pada masanya berikutan impak pandemik yang telah membawa perubahan unik kepada pemulihan dan kemampanan ekonomi.
“Pelan peluasan rangkaian Boat Noodle yang turut memberi peluang perniagaan kepada penerima manfaat FELDA merupakan perkembangan yang sangat menggembirakan, terutama untuk generasi muda kerana ia penting dalam pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negara.
“Ini selaras dengan fungsi utama KOGUNA untuk memastikan pelaburan kami memperoleh pulangan yang lebih besar kepada ahli. Setelah melihat sendiri pelan perniagaan Boat Noodle, kami yakin akan dapat melihat potensi pulangan pelaburan yang bersesuaian dengan rancangan pelaburan kami,” katanya. – UTUSAN
Sumber: Utusan Malaysia
Artikel Penuh: https://www.utusan.com.my/ekonomi/2022/06/boat-noodle-sasar-buka-150-cawangan/