HARIAN METRO – 4 JANUARI 2016
Pendidikan kanak-kanak di peringkat awal secara formal menjadi pilihan ibu bapa bagi memastikan anak mereka bersedia daripada pelbagai aspek sebelum ke sekolah rendah.
Malah, kewujudan pusat pendidikan awal kanak-kanak atau tadika tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan dan boleh dikatakan di setiap satu kawasan perumahan, pasti ada pihak yang mengusahakannya.
Perkara ini disokong beberapa pemain industri yang berjaya antaranya Children Islamic Centre (CIC) yang diwujudkan Proquaz Sdn Bhd (Proquaz). Malah, syarikat ini turut menawarkan sistem perniagaan secara francais kepada usahawan yang berminat menyertai perniagaan perkhidmatan ini.
Wartawan Bisnes Metro berkesempatan menemu bual Ketua Pegawai Eksekutif Proquaz, Qutren Nada Ahmad untuk membincangkan lebih lanjut mengenai perniagaan pusat pendidikan awal kanak-kanak.
Apa pandangan anda mengenai industri perkhidmatan ini di pasaran tempatan?
Pusat pendidikan kanak-kanak adalah perkhidmatan yang ditawarkan sejak dulu lagi bagi membolehkan anak kecil bersedia sebelum masuk ke sekolah rendah.
Dengan adanya satu sistem pendidikan atau program khusus yang ditawarkan pemilik pusat pendidikan, ia membantu meningkatkan kesedaran ibu bapa mengenai kepentingan pendidikan awal secara formal ini.
Di Malaysia, CIC antara pemain industri yang pertama menawarkan perkhidmatan pendidikan awal kanak-kanak dengan sistem pendidikan atau program tersusun yang menjadi ikutan kepada pemain industri lain.
Sehingga kini, kami mempunyai 57 cawangan di seluruh negara dan 12 daripadanya diusahakan usahawan francais yang mendapat bimbingan daripada kami dari segi silibus pendidikan sehingga pengurusan perniagaan.
Secara umumnya perniagaan dalam pusat pendidikan awal kanak-kanak masih luas untuk diterokai usahawan tempatan memandangkan ia menjadi keperluan kepada ibu bapa bagi memastikan kesediaan anak-anak mereka sebelum ke alam persekolahan.
Bagaimanakah prestasi industri ini?
Bagi kami industri pendidikan awal kanak-kanak sentiasa berkembang dan tidak mempunyai kesan serius sekiranya berdepan dengan cabaran ekonomi kerana ia adalah keperluan dalam bidang pendidikan.
Malah, CIC sendiri pada 2016 menjangka mampu merekodkan pertumbuhan antara 10 hingga 15 peratus dalam peningkatan murid baru berbanding 2014.
Dari segi perolehan, Proquaz mencatatkan peningkatan sekitar 15 peratus setahun serta kami menawarkan perniagaan ini kepada usahawan yang berminat menjadi francaisi.
Tambahan dengan ekonomi yang mencabar, CIC dilihat mampan untuk meneruskan rancangan meneroka pasaran asing yang mana kami dalam proses akhir dengan francaisor induk di Arab Saudi dan Indonesia untuk menerokai pasaran di kedua-dua negara berkenaan.
Apakah perkara paling penting dalam perniagaan perkhidmatan pendidikan awal kanak-kanak?
Sistem pendidikan atau program yang ditawarkan kepada murid-murid. Ia membantu masa depan perniagaan kami kerana program yang betul memberi kesan kepada kanak-kanak dan ibu bapa memberi kepercayaan kepada kita untuk membimbing anak-anak mereka.
Seperti CIC, kami menampilkan nilai Islam kepada kanak-kanak yang mengikuti program dan kesannya boleh dilihat apabila kebanyakan bekas murid-murid menduduki kelas pertama di sekolah rendah dan mereka terus menunjukkan prestasi baik sehingga ke sekolah menengah.
Bagaimana CIC menetapkan perniagaan sosial dalam perniagaan?
Di sini, kami mempunyai sekitar 400 tenaga pengajar dengan gaji paling minimum RM2,000 dan ini adalah cara kami untuk menarik lebih ramai orang menyertai bidang pendidikan awal kanak-kanak.
Ini kerana pada hari ini pendidikan awal kanak-kanak penting dan tenaga pengajar yang mempunyai taraf pendidikan tinggi dalam bidang ini penting bagi memastikan murid-murid mendapat bimbingan yang betul.
Kami juga menawarkan perniagaan ini kepada orang ramai yang berminat menyertainya dan CIC akan membantu mereka dari segi persediaan perkhidmatan sehingga menguruskan perniagaan bagi memastikan jenama kami berdaya tahan.
Kami bukan saja membina perniagaan berasaskan keuntungan semata-mata, tetapi turut memberi peluang pekerjaan dalam bidang pendidikan kanak-kanak kepada graduan.
Selain itu, perkongsian perniagaan juga dilihat boleh membantu lebih ramai ahli masyarakat menjadi usahawan dengan menyertai perniagaan francais kami, tetapi mereka perlu bersedia dan mempunyai minat tinggi dalam bidang ini kerana kita berdepan dengan kanak-kanak.
URL : http://www.hmetro.com.my/node/104598#sthash.QRRtC4JT.dpuf