Sinar Harian – 21 Disember 2015
Ahmad Ajmal (tengah) bersama dua rakan kongsinya berdiri di hadapan Cafe Big Mouth di Bukit Jelutong.
LEGASI keluarganya yang suka berniaga membuatkan dia berusaha keras mengumpul wang untuk menceburi bidang perniagaan.
Usaha Ahmad Ajmal Ismail, 27, akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya membuka kafe yang dikenali sebagai Big Mouth.
Sudah lama, dia menanam cita-cita membuka perniagaan setelah melihat neneknya berjaya mengusahakan kedai makan di Perlis.
“Waktu kecil, saya seronok melihat nenek berniaga. Melihat perniagaan nenek yang bagus, saya memasang niat untuk menceburi bidang perniagaan pada suatu hari nanti.
“Kerana itu juga, saya rasa, minat saya ini diwarisi daripada nenek,” katanya.
Sebelum menceburi bidang perniagaan, Ahmad Ajmal bekerja sebagai pegawai eksekutif pemasaran di syarikat IT hampir tiga tahun.
Kerjaya itu menuntutnya memasarkan produk yang dibuat oleh syarikat kepada pelanggan.
“Semasa bekerja, saya banyak belajar dan secara tidak langsung saya dapat ilmu-ilmu mengenai selok-belok berniaga.
“Pada masa sama, saya juga buat kajian mengenai jenis perniagaan apa yang mempunyai jangka hayat yang panjang,” katanya.
Pilih bisnes makanan
Memilih perniagaan makanan kerana ia dilihat boleh bertahan lama memandangkan ia begitu meluas.
“Risiko dalam industri ini tidaklah begitu tinggi berbanding yang lain. Kalaupun rugi, saya pasti tidaklah teruk sangat.
“Saya pilih sektor ini kerana sektor ini mempunyai kelangsungan perniagaan yang lama,” katanya.
Bertitik tolak daripada itulah, dia mula membuka langkah membuka Big Mouth selepas dia dan dua rakannya bertemu kenalan mereka yang membuka kafe di Seremban 2 pada 2013.
“Kami tertarik dengan menu-menu yang dihasilkan. Sedap. Setelah itu, kami mengajaknya untuk bersama-sama kami membuka kafe.
“Setelah mencapai kata sepakat, kami semua menjadi rakan kongsi,” katanya.
Memilih nama Big Mouth kerana mengikut saiz makanan yang disajikan kepada pelanggan.
“Menu kami ala Barat. Saiz hidangan lebih banyak. Itulah keunikan kami.
“Selepas kafe di Seremban 2, kami membuka cawangan baharu di Senawang pada 2014,” katanya yang membelanjakan kira-kira RM500,000 untuk membuka operasi kafe tersebut.
“Jumlah itu merangkumi kerja-kerja mencantikkan bahagian dalam kafe, perkakasan, alatan memasak, kerusi, meja makan dan lain-lain lagi,” katanya.
Ambil masa cari menu terbaik
Banyak cabaran yang dihadapinya untuk membuka kafe Big Mouth ini. Paling mencabar adalah memikirkan idea untuk kelainan dalam setiap menunya.
“Kami mahu pastikan menu kami lain daripada yang lain. Perlu ada sesuatu yang istimewa.
“Makanan yang disediakan di kafe ini adalah idea kami sendiri seperti daging burger, roti burger, sos dan lain-lain lagi. Jadi, kami perlu memastikan semua makanan di semua kafe kami mempunyai rasa yang sama dan sedap supaya pelanggan berpuas hati dengan apa yang dihidangkan,” katanya.
Katanya, untuk mencipta daging burger, mereka mengambil masa tiga bulan untuk mencipta menu baharu daging burger yang benar-benar sedap.
“Kami ada kilang sendiri untuk memproses semua makanan. Kilang kami terletak di Bukit Jalil.
“Di antara makanan yang menjadi signifikan kepada kafe kami adalah ‘Chicken On The Run’, ‘Burger 69’, ‘Garlic Herbs Wings’ dan lain-lain lagi. Semua makanan dijual pada harga antara RM10 sehingga RM30 untuk satu hidangan,” katanya.
Ingin membuka lebih banyak kafe
Sudah memiliki tiga buah kafe dan yang terbaharu dibuka di Bukit Jelutong, Selangor dan mempunyai hampir 35 pekerja terlatih.
“InsyaALLAH, akan ada dua lagi kafe baharu kami dibuka iaitu di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan juga Jalan Klang Lama.
“Cawangan di HKL bakal beroperasi tidak lama lagi manakala cawangan di Jalan Klang Lama bakal beroperasi pada tahun hadapan,” katanya.
Mensasarkan untuk membuka lima lagi kafe pada tahun hadapan dalam usaha menarik lebih ramai pelanggan.
Selain itu, Ahmad Ajmal turut mensasarkan membuka dua buah kafe di India dan Myanmar.
“Saya berharap semua sasaran ini dapat direalisasikan menjelang hujung tahun hadapan. InsyaALLAH,” katanya.
Ahmad Ajmal sudah merancang untuk menjadikan Big Mouth sebagai syarikat francais untuk memberi peluang kepada orang ramai untuk berjinak-jinak dalam dunia perniagaan.
Sudahpun menghantar permohonan kafe itu kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan kini Ahma Ajmal dalam fasa menunggu keputusan sama ada boleh menjadi syarikat francais ataupun sebaliknya.
“Sekiranya ada pihak berminat membuka kafe ini, mereka perlu menyediakan modal kira-kira RM600,000 untuk membuka perniagaan ini.
“Saya meletakkan harga sebegitu kerana jumlah ini meliputi kerja-kerja mencantikkan kafe, membina dapur dan pelbagai lagi,” katanya.
Ahmad Ajmal juga akan menyediakan pekerja terlatih kepada francaisinya bagi memastikan perniagaan mereka berjalan dengan lancar.
URL : http://www.sinarharian.com.my/bisnes/big-mouth-tonjol-kelainan-1.464286