25 December 2014 – Harian Metro
Kuala Lumpur: Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat) meletakkan sasaran membuat pembiayaan tambahan sehingga RM150 juta tahun depan bagi pembukaan cawangan Ar-Rahnu X’Change kelolaan koperasi melalui produk terbarunya Ar-Rahnu Flexi.
Naib Presiden Kanan, Perbankan Korporat Bank Rakyat, Abdul Razak Abu Bakar berkata, pembiayaan dikendalikan Bank Rakyat itu dijangka dimanfaatkan 28 koperasi yang akan mengendalikan 30 cawangan baru Ar-Rahnu X’Change.
“Melalui pembiayaan Ar-Rahnu Flexi ini, kami menjangkakan membiayai 28 koperasi di seluruh Malaysia dengan anggaran minimum RM5 juta bagi setiap cawangan,” katanya selepas pelancaran Ar-Rahnu Flexi oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek di sini, semalam.
Menurutnya, sejak diperkenalkan pada 2008 sehingga 2014, Bank Rakyat mengeluarkan perbelanjaan RM370 juta bagi membiayaan pembukaan 40 cawangan Ar-Rahnu X’Change yang dikendalikan 33 koperasi.
“Mulai tahun depan, pembiayaan ini dinamakan sebagai Ar-Rahnu Flexi apabila koperasi berhasrat membuka cawangan Ar-Rahnu X’Change boleh mendapatkan pembiayaan dengan margin pembiayaan sehingga 80 peratus.
“Malah, ia tidak hanya terhad kepada koperasi yang menjalin kerjasama dengan Bank Rakyat dalam pembukaan francais Ar-Rahnu X’Change sebaliknya kami turut memberi peluang kepada koperasi baru,” katanya.
Menurutnya, melalui produk terbaru ini, pihaknya menjangkakan pertumbuhan satu digit bagi perolehan hasil daripada operasi Ar-Rahnu X’Change.
“Setakat ini, francais Ar-Rahnu X’Change yang dikendalikan koperasi mencatatkan perolehan sehingga RM1.4 juta sebulan dan angka berkenaan dijangka meningkat tahun depan khususnya dengan pertambahan jumlah cawangan di seluruh negara,” katanya.
Melalui pembiayaan Ar-Rahnu Flexi, koperasi boleh mendapatkan pembiayaan dengan tempoh maksimum pembiayaan sehingga lima tahun dan had pengeluaran sehingga 80 peratus daripada nilai emas digadai.