Sinar Harian – 6 Jun 2016
Hamzah ketika melakukan tinjauan harga di pasar raya sekitar Jakarta.
JAKARTA – Hasil pemantauan harga di beberapa premis di sekitar Jakarta mendapati barangan keperluan asas lebih mahal berbanding barangan sama yang dijual di Malaysia.
Pemantauan dilakukan sendiri Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan KPDNKK, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan pegawai-pegawai kanan dari kementeriannya.
Hamzah berkata, barangan keperluan pengguna meliputi makanan dan keperluan harian seperti ikan, ayam, daging, sayur, pencuci, susu bayi , tepung dan minyak masak adalah lebih tinggi antara 20-40 peratus.
“Ini bukan barang-barang yang diimport tetapi barangan yang dihasilkan dalam negara, ada juga barangan yang diimport dari Malaysia dan ianya dijual dua kali ganda berbanding harga di negara kita,” katanya.
Hamzah berada di Jakarta selama 4 hari dalam rangka lawatan kerja sempena Persidangan dan Expo Konsep Perniagaan, Lesen dan Francais Antarabangsa yang berlangsung di sini.
Pemantauan harga dilakukan di pasar raya besar dan kedai serbaneka yang beroperasi di sekitar bandar raya ini.
Pemeriksaan ini merupakan siri kedua selepas pemantauan sama dilakukan di Sungai Golok, Thailand yang juga menunjukkan harga barangan keperluan dijual lebih tinggi di sana.
KPDNKK akan membuat satu lagi perbandingan harga dengan sebuah lagi negara serantau dalam waktu terdekat ini sebelum laporan dibentangkan kepada Kabinet.
URL : http://www.sinarharian.com.my/nasional/barangan-keperluan-di-jakarta-lebih-mahal-1.528309