25 December 2014 – Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR 24 Dis. – Bank Rakyat menerusi syarikat subsidiarinya, Rakyat Management Services Sdn. Bhd. menyasarkan pembiayaan sebanyak RM150 juta melalui pelancaran program baharunya, Ar-Rahnu Flexi bagi membantu koperasi mendapatkan kemudahan modal.
Naib Presiden Kanan Perbankan Korporat Bank Rakyat, Abdul Razak Abu Bakar berkata, Ar-Rahnu Flexi merupakan kemudahan yang diwujudkan khas untuk badan koperasi mendapatkan modal pusingan bagi perniagaan Ar-Rahnu X’Change.
Katanya, melalui pembiayaan tersebut, beliau menyasarkan cawangan Ar-Rahnu X’Change yang diusahakan oleh koperasi akan bertambah sebanyak 30 lagi menjelang hujung tahun depan, berbanding 48 cawangan ketika ini.
“Ketika ini Ar-Rahnu X’Change mempunyai 90 cawangan iaitu 48 cawangan yang diusahakan oleh 33 buah koperasi dan 42 lagi diuruskan oleh Bank Rakyat sendiri.
“Kos bagi membuka sebuah cawangan Ar-Rahnu X’Change adalah sebanyak RM5 juta. Jadi dengan jumlah pembiayaan yang disasarkan, kami berharap sebanyak 30 cawangan baharu dapat dibuka menjelang akhir tahun depan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas pelancaran program terbabit di ibu pejabat Bank Rakyat di sini hari ini.
Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek dan turut dihadiri Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mat Noor Nawi dan Pengarah Urusannya, Datuk Dr. Mustafha Abd. Razak.
Ar-Rahnu Flexi terbuka kepada semua koperasi yang berdaftar dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan pemegang francais Ar-Rahnu X’Change di bawah Rakyat Management Services.
Kemudahan tersebut ditawarkan dengan tempoh maksimum pembiayaan sehingga lima tahun dengan had pengeluaran sehingga 80 peratus daripada nilai enam digadai (nilai marhun).
Menurut Abdul Razak, Bank Rakyat sehingga kini telah membiayai 28 koperasi untuk mendapatkan modal pusingan peniagaan Ar-Rahnu X’Change membabitkan pembiayaan sebanyak RM370 juta.
“Kadar hutang tidak berbayar (NPL) melibat pembiayaan ini adalah rendah iaitu 0.5 peratus sahaja dan melalui program pembiayaan ini dapat membantu koperasi sedia ada dan koperasi baharu dalam peniagaan Ar-Rahnu X’Change,” ujarnya.