10 Jun 2014 – Malaysia Gazette
Rakyat Management Services Sendirian Berhad (RMES), francaisor pajak gadai Islam, Ar-Rahnu Xchange merancang untuk mengembangkan sayap ke pasaran Indonesia menjelang akhir tahun depan.
Pengurus Besarnya, Azman Adnan berkata, beberapa lokasi yang melibatkan bandar-bandar besar termasuk Jakarta telah dikenalpasti dan ketika ini, anak syarikat Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat) itu sedang menyelesaikan beberapa urusan berkaitan.
“Sampai bila kita hanya mahu bergantung kepada pasaran tempatan sahaja dan saya melihat Indonesia mempunyai potensi yang sangat besar kepada perniagaan pajak gadai Islam.
“Biarpun sudah ada pajak-pajak gadai Islam di Indonesia namun dengan bilangan rakyat yang ramai ditambah dengan strategi yang kami ada, kami pasti perniagaan di sana boleh membawa manfaat kepada syarikat dan juga koperasi-koperasi yang menjadi francaisi Ar-Rahnu Xchange,” katanya kepada media di sini baru-baru ini.
Tambah Azman, memasuki pasaran luar terutamanya Indonesia memerlukan perancangan teliti kerana republik tersebut mahukan syarikat luar untuk bergabung atau bekerjasama dengan syarikat tempatan sebelum dibenarkan untuk beroperasi di negara tersebut.
Bagaimanapun, dengan hasil kajian yang mendalam serta lokasi yang strategik beliau yakin pelaburan di Indonesia akan membuahkan hasil.
Katanya, bagi memastikan Ar-Rahnu Xchange mampu bersaing dengan pajak-pajak gadai Islam di Indonesia, Azman bersama pasukannya sudah merancang pelbagai produk inovasi yang boleh dilaksanakan bersesuaian dengan pasaran negara yang mempunyai populasi Islam terbanyak itu.
“Semua kertas kerja telah disiapkan dan hanya menanti kelulusan ahli lembaga pengarah sahaja,” katanya lagi.
Sekiranya Ar-Rahnu Xchange memasuki pasaran Indonesia pada hujung tahun depan, ia merupakan syarikat pajak gadai Islam pertama Malaysia yang berjaya bertapak di negara itu. – MalaysiaGazette