23 November 2021, Kuala Lumpur,
Anugerah Perdagangan Dalam Negeri (APDN) 2020 diadakan buat julung-julung kalinya malam tadi bagi mengiktiraf peranan penting yang dimainkan oleh pemain industri sebagai barisan hadapan ekonomi domestik negara.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, penganjuran anugerah berkenaan diharap dapat menjadi pemangkin serta motivasi kepada barisan hadapan ekonomi agar bekerja dengan lebih gigih dan penuh kesungguhan.
“Selain memberi penghargaan kepada barisan hadapan ekonomi dalam membantu memulihkan ekonomi negara khususnya semasa pandemik Covid-19 ini, APDN 2020 ini turut memberikan pengiktirafan kepada barisan hadapan ekonomi di atas setiap usaha dan inovasi yang dilaksanakan, demi kelangsungan kepada perniagaan sedia ada.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pembukaan APDN 2020 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur semalam, yang disempurnakan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
APDN 2020 melibatkan sebanyak 25 kategori anugerah meliputi PKS, Kedai Harga Patut, Francais, Jualan Langsung, Peruncitan, E-Dagang, Media dan Stesen Minyak.
Lima penerima anugerah perdana ialah Fatihah Frozen Food Sdn. Bhd. bagi kategori produk terbaik, Mydin Mohamed Holdings Berhad yang memenangi penyertaan terbaik kategori Kempen Beli Barangan Malaysia dan Ecart Services Malaysia Sdn. Bhd. (Lazada Malaysia) sebagai Pengendali Pasar Dalam Talian Terbaik.
Selain itu, Global Art & Creative Sdn. Bhd. menjadi pemenang Francais Terbaik (Dalam Negara) manakala Shell Malaysia Trading Sdn. Bhd. diiktiraf sebagai Kedai Serbaneka Stesen Minyak Terbaik.
Sumber: Kosmo
Artikel Penuh: https://www.kosmo.com.my/2021/11/23/apdn-2020-iktiraf-pemain-industri/