KUALA LUMPUR, 7 Mac
(Bernama) – Anugerah Francais Malaysia 2024 (AFM2024) akan memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada usahawan francais yang berdaya saing dan mencapai tahap keunggulan luar biasa hingga ke peringkat global,
Diadakan pada 29 Mei ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), anugerah yang telah memasuki edisi ke-26 penganjurannya itu disokong oleh Kementerian Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dengan kerjasama rakan-rakan strategik seperti Q Solve, Bubblebee, Marrybrown, Oldtown White Coffee, Ayam Penyet Best dan Little Caliph.
Naib Pengerusi Persatuan Francais Malaysia (MFA) Mohamad Shukri Salleh berkata anugerah itu adalah penanda aras penting kepada penggiat industri francais bagi mengukur prestasi perniagaan mereka berlandaskan piawaian industri menerusi penilaian yang komprehensif meliputi aspek integriti, kelestarian perniagaan, ketangkasan kewangan, inovasi berterusan dan impak sosial agar penggiat industri francais Malaysia mencapai taraf dunia.
“Pengiktirafan yang diterima menerusi AFM membolehkan usahawan francais tempatan dikenal pasti sebagai satu sistem yang berdaya saing, berdaya maju dan berwibawa dalam menjalinkan rantaian perniagaan serta mempunyai potensi yang tinggi dalam mengembangkan perniagaan francais ke peringkat antarabangsa.
“Sehingga kini, beberapa syarikat telah memberi maklum balas menggalakkan terhadap pencalonan anugerah ini. MFA menyasarkan lebih 100 pencalonan untuk 21 anugerah dalam enam kategori yang dipertandingkan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Terdahulu pada sesi taklimat anugerah, Pengarah AFM2024 Prof Madya Dr Mohd Hizam Hanafiah berkata AFM2024 turut memperkenalkan anugerah baharu bagi Kategori Francaisi iaitu Best Single-Unit Franchisee of The Year, Best Multi-Unit Franchisee of The Year, Best International Single-Unit Franchisee of the Year dan Best International Multi-Unit Franchisee of The Year.
“Anugerah baharu ini diperkenalkan agar lebih ramai usahawan francaisi dapat bersaing secara adil dan merangsang amalan terbaik dalam industri francais semasa. Lebih menarik, kesemua anugerah ini akan disampaikan pada Malam Anugerah Francais yang bakal diadakan Mei nanti,” katanya.
Beliau berkata penganjuran AFM 2024 lebih berprestij pada tahun ini dengan kehadiran wakil francais daripada serata dunia yang turut menghadiri Mesyuarat Tahunan Asia Pacific Franchise Confederation (APFC) dan World Franchise Council (WFC) selama tiga hari bermula 27 hingga 29 Mei.
Pencalonan bagi anugerah ini dibuka kepada semua penggiat francais sama ada ahli atau bukan ahli MFA serta organisasi berkepentingan yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam industri francais.
Borang pencalonan dan keterangan lanjut berkaitan AFM2024, sila layari
www.mfa.org.my/awards.Pencalonan dibuka sehingga 5 April 2024.
– BERNAMA
Sumber: Bernama.com
Artikel Penuh: https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=2276883