KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) — Maxincome Resources Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh QL Resources Bhd, telah menandatangani perjanjian francais dengan FamilyMart Co Ltd yang berpangkalan di Tokyo untuk pembangunan dan operasi kedai serbaguna FamilyMart di Malaysia.
Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, QL Resources berkata, penglibatannya dalam perniagaan rantaian kedai serbaguna dengan jenama terkenal FamilyMart, akan membuka peluang pertumbuhan lebih besar.
“Ia juga pengembangan hiliran strategik perniagaan pengeluaran makanan dan pengedaran sedia ada QL yang menghasilkan kesan sinergi kepada kumpulan,” katanya.
Menurutnya, perjanjian itu adalah untuk 20 tahun dan boleh diperbaharui bagi tempoh 20 tahun lagi tiap satu, mengikut pilihan pemegang francais.
“Perjanjian itu juga dengan syarat pendaftaran francais Maxincome dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, selesai,” katanya.
FamilyMart Co Ltd, pemilik francais, adalah syarikat yang disenarai di Bursa Saham Tokyo.
Syarikat itu diiktiraf sebagai rantaian kedai serbaguna kedua terbesar di dunia dan sehingga 31 Mac 2016 ia memiliki 17,540 kedai di tujuh negara.
— BERNAMA
URL : http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/bu/newsbusiness.php?id=1234192