1 Jun 2015 – Sinar Harian
KALAU sudah nama impian, bagaimana susah pasti akan dapat digapai juga. Begitulah yang berlaku kepada Naib Presiden Strategi Korporat Myhomme Group Resources (M) Sdn Bhd yang mengendalikan pusat cucian AquaNano, Amran Shah Idris.
Suatu ketika dahulu, hasratnya untuk memiliki perniagaan dobi bersama isteri, Mashetah Jamil terpaksa ditangguhkan kerana beberapa perkara, namun dengan keyakinan dan cita-cita, ia dapat dicapai dengan usaha dan doa berterusan.
“Walaupun tidak tahu bila ia dapat direalisasikan, saya mengikuti seminar anjuran Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) untuk mengetahui maklumat mengenai perusahaan dobi.
“Ditambah pula tidak mempunyai modal permulaan RM200,000,” katanya.
Segala-galanya bermula apabila isterinya berhenti kerja sebagai akauntan untuk menguruskan keluarga sementelah anak pertama mereka, Qaseh Qasrina menghidapi penyakit tangan, kaki dan mulut pada usia setahun.
“Saya menghargai pengorbanan besar isteri demi keluarga. Dari situlah, saya terfikir untuk berniaga.
“Bukan mudah untuk berniaga. Enam bulan mengumpul wang dan Alhamdulillah, dengan simpanan sebanyak RM50,000, saya guna sebagai modal untuk membuka kedai dobi iaitu Dobi Qaseh pada 2009 di Sungai Tangkas, Kajang, Selangor. Nama itu diambil sempena nama anak sulung kami, Qaseh Qasrina,” katanya.
Walaupun berdepan dengan pelbagai dugaan, perniagaan itu diteruskan kerana melihat potensi tinggi terhadap perniagaan dobi.
“Saya tidak mahir menguruskannya. Dulu, memang tak tahu nak guna mesin dan tak tahu pun teknik yang betul nak mencuci baju.
“Atas bantuan pembekal dan belajar sendiri melalui buku, akhirnya saya dapat uruskan kedai dengan baik,” katanya.
Hanya RM10 dalam dompet
Anak kelahiran Tangkak, Johor ini mengakui, banyak pengalaman pahit yang ditempuh sebelum berjaya.
“Saya tidak mempunyai pengalaman dan ilmu dalam perniagaan ini. Tempoh tiga bulan pertama adalah masa sukar untuk saya dan akan jadi kenangan sampai bila-bila.
“Saya hanya mempunyai RM10 sahaja dalam dompet. Dua minggu pertama operasi, untung kedai hanya RM18 sahaja. Saya terus sabar dan meneruskannya,” katanya.
Kekurangan sumber kewangan dan kurang sambutan sedikitpun tidak mematahkan semangat untuknya meneruskan perniagaan yang dianggap hadiah istimewa kepada isterinya.
“Alhamdulillah, enam bulan selepas itu, kedai dobi semakin dikenali. Ia diserahkan pada isteri memandangkan saya masih bekerja,” katanya.
Pada 2013, dia meninggalkan kerjayanya dan menumpukan pada perniagaan ini.
“Saya mencari formula mengenai strategi dan pemasaran untuk terus menaikkan nama dobi kami. Kami buat iklan atas talian (online), banting dan risalah di kawasan berhampiran kedai dobi dan sekitar Kajang.
“Alhamdulillah, kami menerima kontrak dobi dengan sebuah kolej kediaman di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan sekolah berdekatan,” kata bapa kepada tiga anak, Qaseh Qasrina; 8, Qhalif Aryan Shah;5 dan Qhalif Aaron Shah, 1.
Bijak merencana perniagaan
Tidak mahu mensia-siakan perniagaan, dia aktif menjalankan aktiviti pemasaran dan penjenamaan kedai dobi itu.
Dalam masa sama, Amran Shah berkongsi bersama rakannya Iza Haryani yang mahir dalam pemasaran bermula April 2010.
“Kami menganjurkan seminar dan berkongsi pengalaman perniagaan, operasi dan cara kekal bertahan. Kami buat kerana ramai yang bertanya bagaimana saya boleh bertahan lebih daripada enam bulan.
“Kami mengadakan kursus di seluruh negeri dengan memberikan maklumat mengenai perniagaan dobi. Ia mendapat sambutan, cuma kami kekurangan tenaga kerja untuk meneruskan usaha tersebut,” katanya.
Dia juga turut menjual peralatan kedai dobi dan memberikan konsultan kepada pengusaha kedai dobi dari mula hingga bagaimana mahu kekal bertahan.
“Saya tidak mahu mereka merasai pengalaman saya dahulu. Kami sediakan pakej peralatan RM30,000 sahaja dan membantu 200 pengusaha kedai dobi seluruh Semenanjung Malaysia yang menggunakan jenama mereka sendiri,” katanya.
Dia juga membuat survey mengenai kegagalan kedai dobi untuk bertahan sehingga enam bulan.
“Beberapa faktor yang menyumbang kepada Bumiputera putus asa dan menutup perniagaan adalah tidak mendapat kepercayaan pelanggan dan tidak mempunyai simpanan modal tinggi.
“Selain itu, strategi pemasaran tidak mantap dan tidak mampu menampung kos tinggi selepas meletakkan harga perkhidmatan dobi rendah kepada pelanggan,” katanya.
Perniagaan francais
Sungguhpun dobi beroperasi kurang lima tahun, tetapi AquaNano sudah mempunyai 25 cawangan di seluruh semenanjung Malaysia dengan pemberian lesen kepada mereka yang berminat menggunakan jenama tersebut.
Katanya, setelah berbincang dengan Permodalan Nasional Berhad (PNS), AquaNano terlibat dalam perniagaan francais.
“Alhamdulillah, kini AquaNano mempunyai 90 cawangan termasuk dobi layan diri. Saya mempunyai lima cawangan iaitu empat di Selangor dan satu di Johor,” katanya.
Katanya, dobi layan diri AquaNano bermula pada 2013, dengan jumlah pelaburan RM360,000 di Seksyen 15, Bandar Baru Bangi.
“Saya menyediakan kafe dalam dobi dan ia memberi impak kepada perniagaan kami,” katanya.
Walaupun kafe dalam dobi masih baru di Malaysia, tetapi ia diterima baik.
“Makanan pun yang ringkas sahaja. Alhamdulillah, selepas enam bulan, jumlah pendapatan kami melonjak daripada RM3,000 kepada RM20,000 sebulan,” katanya.
Memilih pelawak, Syuib dan isterinya, Siti Sarah sebagai duta AquaNano banyak membantu perniagaannya.
“Kebanyakan pelanggan melihat risalah yang diedarkan dan terus ke kedai dobi AquaNano. Mereka mahu lihat sendiri Syuib mencuci pakaian,” katanya.
Pelbagai cabaran terpaksa dihadapi antaranya bermula dengan ruang pejabat kecil dengan empat pekerja sahaja.
“Alhamdulillah, kini kami mempunyai 33 pekerja dan berpindah ke bangunan baharu. Dahulu, kami pernah buat mesyuarat atas lantai sahaja selain tidak mendapat kepercayaan pelanggan yang tidak yakin dengan jenama kami,” katanya.
Ada antara pelanggannya, membandingkan AquaNano dengan syarikat bukan Bumiputera dan produk antarabangsa. Ia memberi motivasi untuk terus maju.
Katanya, AquaNano berdepan dengan kos inventori dan bahan kimia dari Jerman yang tinggi menyebabkan AquaNano membuat formulasi sendiri.
“AquaNano mempunyai pasukan kajian dan pembangunan sendiri untuk membuat produk iaitu pelembut, wangian, pencuci dengan menggunakan formula sendiri,” katanya.
Perancangan masa depan
AquaNano menjangkakan pertambahan cawangan meningkat kepada 100 manakala 40 lagi untuk dobi layan diri.
“Saya tumpukan kepada dobi konsep premium sahaja. Dobi layan diri mendapat respons baik dan meningkat 10 peratus selepas sistem cukai dan barang dilaksanakan,” katanya.
AquaNano juga akan menjalankan perniagaan perkhidmatan membersihkan barangan kulit terutamanya beg tangan menjelang akhir tahun ini.
“Bukan mudah untuknya berada pada tahap sekarang. Saya beruntung mempunyai isteri sentiasa menyokong. Saya sentiasa melakukan pembaharuan dan menjadi pelopor,” katanya.
Di samping menyediakan perkhidmatan francais, dia memberi bimbingan kepada pekerjanya menjadi usahawamultimedia, pencetakan dan sebagainya.
“Saya mahu mereka mengembangkan kemahiran untuk mengubah kehidupan menjadi lebih baik dan membantu orang lain,” katanya.
Tambahnya, kesusahan itu ada hikmah tersembunyi.
“AquaNano menjangkakan jualan akan meningkat kepada 25 peratus dipacu konsep premium, beberapa produk baharu dan penambahan francaisi,” katanya.
Usaha berterusan tanpa kenal erti putus asa adalah benteng kejayaan AquaNano selama ini.
URL: http://www.sinarharian.com.my/bisnes/amran-shah-tekad-majukan-aquanano-1.396453