Kuala Lumpur, 27 Februari,
Oldtown White Coffee (Oldtown) hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim sebagai pengerusi Jawatankuasa Halal syarikat itu, berkuat kuasa pada 1 Feb lalu.
Ammar menggantikan Datuk Dr Ahmad Tasir Lope Pihie yang sebelum ini memegang jawatan itu dari Januari 2013 hingga Januari 2024.
Oldtown dalam satu kenyataan memaklumkan pengalaman luas Ammar dalam pentadbiran, audit dan tadbir urus negeri bersedia untuk memimpin Oldtown dalam komitmennya terhadap strategi produk dan jenama yang inovatif serta pematuhan kepada integriti halal, meningkatkan kedudukannya sebagai jenama halal premier.
“Pengiktirafan Oldtown dalam kategori Kecemerlangan Francais pada Anugerah Kecemerlangan Halal Sedunia (WHEA) 2023 mengukuhkan komitmen dan pertumbuhan yang konsisten, perancangan strategik dan dedikasinya untuk menghasilkan produk halal berkualiti tinggi.
“Formulasi produk inovatif syarikat, rangkaian pengedaran strategik dan rancangan pemasaran yang berkesan telah memenuhi permintaan pasaran untuk produk halal yang luar biasa,” menurut syarikat itu.
Ammar, anak jati Kedah dilahirkan di Alor Setar dan merupakan graduan California State University Fresno dan Universiti San Francisco, memulakan kerjaya sebagai Pegawai Tadbir Negeri Kedah pada 1 Sept 1987 sebelum memegang pelbagai jawatan dalam kerajaan negeri Kedah.
Beliau dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Kedah pada Disember 2018, di mana beliau memainkan peranan penting dalam mengemudi arah strategik keseluruhan Kedah sehingga persaraannya pada Ogos 2022.
“Ammar memegang banyak jawatan penting dan mengambil bahagian secara aktif dalam pelbagai jawatankuasa dan lembaga pengarah. Pada masa ini, beliau adalah ahli lembaga amanah bagi Datai Pledge dan penaung Pusat Dakwah Thobrani,” menurut
kenyataan itu.
– BERNAMA
Sumber: Bernama.com
Artikel Penuh: https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=2274179