5 September 2014 – Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR 4 Sept. – Persatuan Francais Malaysia (MFA) akan menganjurkan Anugerah Francais Malaysia (AFM) 2014 pada 31 Oktober ini bagi mengiktiraf pencapaian dan sumbangan pemain industri berkenaan.
Pengerusi AFM, Prof. Dr, Mohd. Hizam Hanafiah berkata, penganjuran kali ke-17 itu menampilkan kelainan berikutan perkembangan industri dengan mengetengahkan dua kategori baharu iaitu Anugerah Francaisi Antarabangsa Terbaik dan Anugerah Francaisi Harapan Antarabangsa Terbaik.
“Penganjuran ini bukan sahaja mengiktiraf sumbangan mereka, malah menggalakkan inovasi produk tempatan selain mempromosi persaingan sihat dalam usaha meningkatkan tahap kemajuan perniagaan sektor francais yang lebih berkualiti,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang turut dihadiri Pengerusi AFM, Datuk Zahriah Abd. Kadir; Ketua Eksekutif MFA, Zainudin Zakaria dan Setiausaha Agung MFA, Mohamad Shukri Salleh, di sini hari ini.
AFM 2014 yang bakal berlangsung di Hotel Royal Chulan itu menawarkan 20 anugerah dengan empat kategori iaitu sistem francais, francaisi, terbuka dan penghargaan khas.
Anugerah yang diiktiraf oleh Persekutuan Francais Asia Pasifik (APFC) tersebut terbuka kepada semua pemain industri francais sama ada daripada ahli MFA atau bukan dan pendaftaran boleh dibuat melalui laman web MFA di https://www.mfa.org.my/maf2014 bermula sejak Ogos lalu hingga 12 September ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd. Hizam berkata, pihaknya juga sedang memperkemaskan Program Francais Siswa yang baharu diperkenalkan pada Mac tahun ini bagi menanam nilai, kemahiran dan pengetahuan bidang francais dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).
“Kita mahu golongan muda melihat potensi perniagaan francais dalam menjana pendapatan diri dan ekonomi negara. Persatuan menyasarkan lebih banyak penyertaan daripada IPT pada masa akan datang dalam usaha memajukan perniagaan francais ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Sementara itu, Mohamad Shukri turut menekankan kepentingan aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D) mantap bagi memajukan bidang tersebut selaras dengan perkembangan industri francais di dalam dan luar negara.
“Setakat ini kita memiliki lebih 750 sistem francais yang telah didaftarkan yang mana 70 peratus daripadanya merupakan produk tempatan manakala daripada jumlah itu, 58 jenama berjaya menembusi pasaran antarabangsa dengan lebih 2,000 cawangan. Jumlah inilah yang ingin kita tingkatkan dari semasa ke semasa.
“Hal ini termasuk memantapkan teras R&D sesuatu produk atau jenama agar mampu bersaing di peringkat global sesuai dengan corak dan permintaan terkini pasaran. Ini yang dikatakan kestabilan lestari supaya sesuatu perniagaan itu mampu bertahan lama,” katanya.