Petaling Jaya, 9 Mac 2022,
AEON.CO.(M) BHD. (AEON) komited memperkasa usahawan francais dan membantu memperkembangkan perniagaan francais ke peringkat antarabangsa menerusi ekosistem AEON.
Usaha itu dimeterai menerusi memorandum persefahaman dengan Persatuan Francais Malaysia (MFA) yang membolehkan kedua-dua pihak meneroka keampuhan masing-masing dan platform untuk mempertingkatkan daya saing, peluang pemasaran serta promosi melalui perkongsian maklumat bagi menyokong, membangun serta menggalakkan perniagaan francais.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif AEON, Shafie Shamsuddin berkata, kerjasama dengan MFA dan lebih daripada 500 ahlinya adalah selari dengan matlamat inisiatif kelestarian untuk negara iaitu AEON Sayap Bagimu bagi menyokong memajukan bidang keusahawanan francais.
“Pada masa yang sama, ia mampu merancakkan industri peruncitan sekali gus membantu menjana ekonomi negara.
“Sebelum pandemik melanda, sumbangan industri francais kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) amat signifikan dengan menyumbang RM32 bilion kepada KDNK pada 2018. Sedar akan potensi besar industri ini, minat para usahawan untuk menceburkan diri di dalam perusahaan francais tetap tinggi, walau pun situasi semasa yang mencabar.
“Kami berharap kerjasama ini dapat merancakkan pembangunan industri selain melahirkan para pengusaha francais yang berkebolehan tinggi serta mampu menangani peralihan corak pembelian para pengguna yang turut menjurus kearah platform digital”, katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Naib Pengerusi MFA, Deric Yeo memaklumkan, kerjasama AEON dan MFA bukan hanya boleh dimanfaatkan oleh ahlinya malah dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di dalam industri francais kepada rakyat tempatan.
Sumber: Utusan Malaysia